24 October 2009

Fiqh An-Nusus Dari Perspektif Al-Maqasid

1.0 Muqaddimah

Siasah Syari'yyah yang kita perkatakan bukanlah percakapan semata-mata bahkan ia adalah gabungan dari mafhum-mafhum syari'e dalam mentadbir urusan ummat dalam limgkungan syariat Islam. Manhaj fiqh as-siasi semasa perlu diasaskan kepada perkara usul dan mengambil hukum-hukum dari sumbernya yang sebenar dengan mengambil faedah daripada turath fiqhul Islami.
Di sini saya kemukakan fiqh an-nusus yang merupakan asas pertama dalam fiqh as-siasah as-syari'yyah.

2.0 Masadir As-syari'yyah (مصادر الشرعية )

Hukum-hukum syara' dikenali dengan dalil-dalil yang ditegakkan dengannya as-syari' untuk memimpin manusia. Dalil-dalil dinamakan usul ahkam (اصول الاحكام ) atau masadir al ahkam ( مصادر الاحكام )2 atau adillah al ahkam ( ادلة الاحكام )3
Hukum Islam tidak terbatas kepada perkara-perkara yang berkait dengan amali dan tasyrik sahaja atau nazari dan aqaidi atau ruhiy atau khuluqi tetapi ianya merangkumi semuanya.4
Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan, masadir as-syari'yyah terbahagi kepada tiga :5
i) Masadir yang diittifaq oleh kesemua ulama' ( Al-Quran dan As-Sunnah )
ii) Masadir yang diittifaq oleh jumhur ulama' ( Al-ijma' dan Al-qias )
iii) Masadir yang dikhilafi di kalangan ulama'
( العرف, الاستصحاب, الاستجسان, المصالح المرسلة,شرع من قبلنا, قول الصحابى )

3.0 Penyelewengan dan Mahazir di dalam Memahami Tafsir

3.1 Mengikut al-Mutasyabihat dan meninggalkan al-Muhkamat
( اتباع المتشابه و ترك المحكمات )
Di antara penyelewengan yang bahaya di dalam memahami Al-Quran khasnya dan An-Nusus umumnya adalah mengikut ayat-ayat mutasyabihat dan meniggalkan ayat-ayat muhkamat.6
Al-Quran menyifatkan ianya adalah muhkam:
الر كتاب احكمت اياتة ثم فصلت من لدن حكيم خبير
( surah Hud - 1 )
Al-Quran juga menyifatkan ianya sebagai mutasyabih :
الله نزل احسن الحديث لتابا متشابها مثانى تقشعر منه جلود الذين يخشون ربهم
( surah Az-Zumar - 23 )

Menurut ar-Raghib, ayat-ayat yang berhubung kait antara satu sama lain terbahagi
kepada tiga :
i) Muhkam secara ittifaq
ii) Mutasyabih secara ittifaq
iii) Muhkam dari satu sudut dan Mutasyabih dari satu sudut

Al-mutasyabih terbahagi kepada tiga bahagian :
i) Mutasyabih dari sudut lafaz
ii) Mutasyabih dari sudut makna
iii) Mutasyabih dari sudut lafaz dan makna7

3.2 Su' at-Ta'wil (سوء التأويل )

Di antara perkara yang diputuskan di kalangan ahli ilmi bahawa al-aslu adalah
mengekalkan nas berdasarkan zahirnya sebagaimana yang digunakan dalam bahasa. Tetapi mentakwilkan nusus dengan cara memalingkan maknya yang hakiki kepada maknanya yang majazi tidak diingkari oleh para ulama'.8
Yang penting ta'wil yang dilakukan mestilah berdasarkan dalil ( لاتأويل الا بالدليل ). Ta'wil bermaksud menukarkan lafaz dari maknanya yang zahir kepada makna yang mansuh yang diihtimal olehnya kerana terdapat yang menjadikannya sebagai rajih.9

3.3 Meletakkan Nas Bukan di Tempatnya

Di antara penyelewengan yang mesti diberi perhatian di dalam memahami Al-Quran ialah meletakkan nas bukan pada tempat yang sebenar. Ia adalah dari jenis (من تحريف الكلم عن مواضعه )10
Perkara ini berlaku kerana kelemahan dari segi pemikiran kefahaman terhadap nas
dengan sebab kegopohan. Ia juga mungkin berpunca dari kelemahan dalam dhomir
dan kerosakkan niat.11
Di antara تحيفات الكلم di masa kini ialah :12
i) Dakwaan bahawa Al-quran melarang taadud zaujah
ii) Rasul tidak memerintahkan untuk berhukum dengan hukum Allah
iii) Al-Quran menolak pendapat yang terbanyak

3.4 Dakwaan Nasah Tanpa Burhan

Al-Quran diturunkan untuk diamal dan dijauhi larangannya. Ini adalah asal bagi
ayat Al-Quran, ia adalah muhkamah dan tidak harus keluar dari asal ini melainkan dengan keyakinan tanpa syak dan ihtimal.
Di sana terdapat tiga golongan dalam perkara ini :13
i) Golongan yang memperluaskan nasakh dalam Al-Quran.
i) Golongan yang mengingkari nasakh Al-Quran.
ii) Golongan yang pertengahan dinasakhkan jika sabit dali; yang sorih dan sahih.

3.5 Jahil Tentang Sunan dan Athar (جهل بالسنن والاثار )
3.6 Thiqah Dengan Israiliyyat

4.0 Madrasah Dalam Fiqh Maqasid

Terdapat tiga maadrasah di dalam fiqh Al-maqasid. Madrasah itu ialah :

i) مدرسة الظاهرية الجدد
ii) مدرسة المعطلة الجدد
iii) مدرسة الوسطية

4.1 مدرسة الظاهرية الجدد
Madrasah yang pertama dalam fiqh maqasid ialah madrasah yang dikenali sebagai
مدرسة الظاهرية الجدد

4.1.1 Fiqh Nusus Tanpa Maqasid

Madrasah yang pertama ini adalah madrasah yang berpegang kuat dengan nusus dan melupakan maqasid. Golongan ini dengan kejumudan dan kesyadidan mereka (walaupun mereka ikhlas) Memudharatkan dakwah kepada Islam dan pada pelaksanaan syariatnya. Sebagaimana jelas pada sikap mereka tentang qadhiyyah perempuan . Mereka menyeru kepada larangan perempuan bekerja walaupun pada ketika itu dia berhajat. Mereka menganggap bahawa demokrasi secara keseluhan adalah perkara munkar dan mengambil keputusan dengan majoriti (الاكثرية ) adalah bid'ah yang di import dari barat.
Mereka menolak tajdid dalam agama, ijtihad dalam fiqh, dan ibtikar dalam uslub ad-dakwah.

4.1.2 Syariah diTegakkan di Atas Dasar Merikan Maslahah

Di antara perkara lazim yang mesti diketahui bagi mereka yang ingin
Memahami Al-quran dan As-sunnah ialah tidak memadai memegang secara harfi.21
Ini adalah kerana hukum syariah itu bukan sahaja difahami daripada makna lafaznya yang sorih tetapi juga mestilah mengetahui rahsia di sebalik sesuatu hukum dan apakah tujuan di sebaliknya.22
Di antara nama Allah swt. ialah Al-Hakim (الحكيم ) yang berulang di dalam Al-quran sebanyak 90 kali lebih. Dan Al- Hakim tidak mensyariatkan sesuatu yang sia-sia sebagaimana dia tidak menciptakan sesuatu yang batil.23
Jumhur ulama' telah ittifaq bahawa syariah diturunkan untuk memastikan tercapainya masalah hamba di dunia dan di akhirat.24
Imam Ibn Al-Qayyim Rahimahullah menyatakan : "sesungguhnya syariat dibina dan diasaskan atas dasar maslahah kepada hamba di dunia dan di akhirat. Hal keseluruhannya adalah keadilan , rahmat, hikmat dan maslahah.Setiap masalah yang mengeluarkannya dari keadilan, kepada kezaliman, dari rahmat kepada sebaliknya, dari maslahah kepada mafsadah, dari hikmah kepada sia-sia. Ia bukannya dari syariah walaupun dimasukkan ke dalamnya dengan ta'wil.25
Syeikh Izuddin bin Abd. Salam Rahimahullah yang dikenali sultan al-ulama' menyatakan : " kesemua syariah adalah maslahah samaada ia menghalang mafsadah atau menarik manfaat. Apabila kamu dengar firman Allah swt. : (يأيها الذين آمنوا ) maka hendaklah kamu mengambil perhatian wasiatnya selepas panggilannya. Maka kamu tidak akan dapat melainkan kebaikkan yang digalakkan kamu melakukannya atau keburukkan yang ditegah kamu melakukannya.26
Maslahah itu mengikut maqasid syari'yyah dibahagikan kepada tiga mengikut Imam Ghazali, As-Syatibi dan lain-lain.27
i) Dhoruriyyat
ii) Hajiyyat
iii) Tahsiniyyat


4.1.3 Fuqaha' Sahabat Melihat Kepada Maqasid As-Syari'yyah

Sesiapa mengkaji athar fuqaha' As-sahabah Radiallah 'anhum seperti khulafa' Ar-rasyidin. Ubai, Muaz, Zaid bin Thabit. Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn Mas'ud dan selainnya radiallahu 'anhum akan mendapati mereka melihat kepada illah di sebalik hukum dan maslahahnya. Apabila mereka memberi fatwa atua menghukum terhadap sesuatu qadhiyyah tidak luput dari pemikiran mereka maqasid syariat dan hadafnya.

Rasulullah saw ketika menghantar Muaz bin Jabal r.a ke Yaman sebagai qadhi dan walinya memerintahkanya untuk mengambil zakat daripada orang kaya di kalangan mereka untuk diberikan kepada golongan fakir. Baginda juga mengingatkan Muaz dari mengambil harta mereka yag paling baik (dari tanaman dan sebagainya) tetapi hendaklah diambil yang pertengahan.

Tetapi Muaz tidak berpegang kepada zahir hadis tetapi melihat kepada tujuan (maqasid) dari mengambil zakat iaitu untuk pembersihan bagi orang kaya dan meringankan fuqara'. Lalu beliau melihat tidak mengapa diambil nilai (القيمه ) harta yang diwajibkan zakat. Perkara ini lebih memudahkan bagi mereka dan lebih bermanfaat kepada muhajirin di Madinah. Pendapat inilah yang dipegang oleh ath-Thauri, abu Hanifah dan ashabnya dan ia diriwayatkan Umar Ibnu Abd. Aziz. Hassan Al-Basri iaitu harus mengambil nilai القيمه ganti dari ain pada zakat. Diriwayatkan oleh Ahmad pada selain dari zakat fitrah dan zahirnya adalah Mazhab Bukhari dalam sohihnya.28

Demikian juga yang dilakukan oleh Umar Ibnu Abd. Aziz rahimahullah yang
membayar dirham pada zakat fitrah ganti daripada makanan. Berdasarkan pendapat yang diriwayatkan oleh Al-Hassan. 'Ata' dan pendapat inilah yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah dan ashabnya berdasarkan tujuan daripada pemberian itu adalah untuk mengkayakan orang miskin supaya tidak perlu meminta pada hari tersebut. Tujuan ini lebih tercapai denagn cara membayar nilai daripada makanan.29


4.1.4 ظاهرية ابت حزم واقعته فى اخطأ كبيرة رغم عبقرية

Jumhur ulama' telah ittifaq di atas ta'lil hukum syariah dan wajibnya meraikan
tujuan (maqasid) dalam fiqh, fatwa dan qadha'. Zahiriyyah terlalu berpegang dengan zahir nusus secara harfi sehingga akhirnya membawa kepada kefahaman yang ajaib dan pendapat yang pelik yang diingkari oleh syara' dan aqal walaupun inteleknya Ibnu Hazm.30
Contohnya : pendapat Ibnu Hazm mengenai hadis nabi saw tentang kencing pada air yang tidak mengalir.
لا يبولن احدكم فى الماء الدائماالذى لا يجرى ثم يغتسل منه - وفى رواية : ثم يتوضأ منه
Ibnu Hazm benpendapat haram bagi orang yang encing pada air yang tidak mengalir untuk berwudhu' dari air itu dan mandi dengannya samada mandi sunat atau wajib. Dan hendaklah dia bertayammum jika tidak ada air selain darinya. Air itu suci dan halal untuk diminum baginya dan orang lain. Serta halal untuk berwudu' dan mandi dengannya bagi orang lain. Beliau menolak untuk mengqiaskan perbuatan meminum denagn wudhu' dan mandi. Lalu beliau mengharuskan minum dan mengharamkan wudhu' dan mandi ke atas orang yang kencing (البائل ) . Beliau juga menolak untuk mengqiaskan orang yang tidak kencing (غير البائل ) dengan orang yang kencing (البائل).

Lebih dari itu lagi, beliau mengaitkan hukum dengan kencing secara mubasyarah dalam air. Jika sesorang itu kencing di tempat lain dan air kencing itu termasuk dalam air maka ianya suci dan harus untuk berwudhu' dan mandi baginya dan orang lain. Dan ia adalah jumud dan pelik.31

4.1.5 اغفال ( الظاهرية الجدد ) لمقاصد الشرعية

Di zaman ini kita melihat terdapatnya golongan yang menyerupai Ibnu Hazm.
Mereka melupakan maqasid syariah serta menolak untuk mengaitkan hukum dengan illah dan maslahah. Lalu mereka terjatuh ke dalam kesalahan yang buruk sebagaimana yang berlaku kepada Ibnu Hazm.
Kita melihat terdapat mereka ynag menentang terhadap golongan yang membolehkan untuk membayar zakat dengan nilai (duit) bagi menggantikan harta sehingga mereka menganggap perbuatan itu batil dan ditolak.

Di samping terdapat mereka yang menyatakan duit atau mata wang yang
diguna sekarang bukannya termasuk dalam duit atau matawang yang disebut di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Oleh kerana itu tidak diwajibkan membayar zakat dan tidak berlaku riba padanya kerana duit atau matawang (النقود الشرعى ) itu hanyalah emas dan perak.32


4.1 مدرسة المعطلة الحدد

Madrasah yang kedua dalam fiqh maqasid ini ialah madrasah yang dikenali dengan (مدرسة المعطلة الجدد ).

4.2.1 Penangguhan Nusus di atas Nama Maslahah dan Maqasid

Madrasah ini bertentangan dengan madrasah yang pertama yang telah kita
bincangkan. Ia adalah madrasah yang melupakan nusus bahkan menangguhkan yang terpenting dengan dakwaan melihat kepada maslahah umum dan maqasid yang kulli. Golongan ini mewarisi (المعطلة القدامى ) yang melakukan penangguhan nama Allah swt. dari maknanya yang hakiki. Golongan yang terdahulu (القدامى ) melakukan penangguhan dalam aqidah dan golongan yang baru pula (الجدد ) melakukan penangguhan dalam syariah. Kedua-dua golongan tersebut adalah tercela.

Golongan (المعطلة الجدد ) ini melampau terhadap nas-nas syara' yang datang dari wahyu yang maksum dalam al-Quran al-Karim keseluruhannya dan beriman dengan al-Quran al-Karim. Semuanya tidak menjadi seperti ahli kitab dan Bani Israel. Firman Allah swt. :
(افتؤمن ببعض الكتاب وتكفرن ببعض فما جزأ من يفعل ذلك منكم الا خزى فى الحياة الدنيا ويوم القيامة يردون الى اشد العذاب وما الله بغافل عما تعملون ( البقرة - 85 )

Di antara perkara yng pelik ialah apa yang ditulis oleh sebahagian penulis di zaman mutakhir ini bahawa Allah swt. memerintahkan RasulNya untuk menghukum dengan apa yang diturunkanNya kepada Ahli Kitab. Bukannya orang Islam . Firman Allah swt. : (وان احدكم بينهم بما انزل الله ) Dhomir (بينهم ) kembali kepada ahli kitab.33

Sesungguhnya saya merasa pelik bagaimana Allah swt. meninggalkan kitab kepada muslimin sebagai masdar aqidah syariat mereka kemudian tidak memerintahkan mereka supaya berhukum dengan kitab itu. Tetapi untuk menghukum dengannya selain muslimin. Sesungguhnya orang Islamlah yang lebih aula untuk menghukum dengan apa yang diturun olehNya kerana kitab itu diturunkan kepada mereka dan tidak sempurna iman melainkan mereka redho dengan hukuman Allah swt dan rasulNya saw.
انما كان قول المؤمنين اذا دعوا الى الله ورسوله ليحكم بينهم ان يقول سمعنا واطعنا واولئك هم المفلحون ( النور - 51 )34


4.2.2 Memerangi Rukun Islam Dan Hudud di Atas Nama Maslahah

Terdapat di kalangan manusia yang memerangi nas-nas yang qat'I dengan
nama maslahah. Di antara mereka ada yag menyatakan bahawa solat menyebabkan tergendalanya kerja, zakat menggalakkan pengangguran, puasa mengurangkan pengeluaran dan hasil. Mereka menyatakan bahawa tujuan dari ibadah adalah untuk menyucikan jiwa dan kami mampu mencapai kepada matlamat itu tanpa ibadah. Di antara mereka terdapat yang mengharuskan zina, meminum arak, menhalalkan arak kerana pelancongan dan kemajuan.35
Mereka juga memerangi hukum syara' yang qat'ie (قطعية الثبوت والدولة ) di atas nama maslahah seperti hukum hudud dan uqubah yang disyariatkan oleh Allah swt dan diwajibkan melaksanakan dengan syarat dan thabitnya sebagai pencegahan dari jenayah sedangkan penolakkan terhadap hakim yang qat'ie (الثبوت والدولة ) adaalh kufur yang jelas dan tidak dapat dita'wilkan melainkan kufur ?!!!!.


4.2.3 شبهات المعطلة الجدد

Di sini saya kemukakan syubahat ynag ditimbulkan oleh Faisal Othman, Fellow Kanan IKIM ( Institut Kefahaman Islam Malaysia ). Di antara tulisannya beliau mengatakan :
" Imam Najmuddin At-Tufi telah menjelaskan maslahah umum itu sebagai satu alasan dan hujjah yang paling kuat di dalam menentukan sesuatu polisi dan dasar pemerintahan dan pentadbiran negara. Maka aplikasi terhadap kaedah fiqh dan siasah syari'yyah seperti yang dikemukakan oleh At-Tufi perlu digunakan dalam politik Malaysia. Dasarnya ialah apabila berlaku percanggahan antara Al-Quran dan As-Sunnah dengan kepentingan maslahah umum maka kepentingan atau maslahah umum harus diutamakan."

4.2.4 Jawapan Terhadap Syubahat Yang Ditimbulakan

Pandangan yang dikemukakan oleh Faisal Othman yang sesat lagi menyesatkan itu batil dan tertolak berdasarkan beberapa hujjah. Di sini saya kemukakan beberapa hujjah yang menolak pandangan beliau yang merupakan jurucakap kepada IKIM yang menjadi platform kepada golongan Muktazilah Moden.36

Jawapan Pertama
Kenyataaan beliau berlawanan dengan kaedah syara' yang qat'ie yang ijma' padanya keseluruhan ulama' di setiap masa dan bagi semua mazhab. Di mana beliau menjadikan masalah-masalah dan hukum-hukum syara' (نص شرعى قطعى الثبوت والدولة ) sebagai hukum yang boleh berlakunya kekhilafan. Perkara ini berlawanan dengan ijma' yaqin (الاجماع اليقينى ) dan berlawanan juga dengan tabiat nas syara' yang diiktibarkan dengan (قطعية - الثبوت والدولة ).
Menurut ulama', nas-nas syara' berdasarkan kepada empat maratib :37
i) النص القطعى الثبوت والدولة
Di sana terdapat nas yang qat'ie (الثبوت والدولة ) seperti yang thabit dengan al-Quran al-Karim (التواتر اليقينى ) . Ynag di maksudkan dengan (قطعية والدلالة ) , ianya tidak boleh di ta'wilkan dan ditafsirkan dengan maksud yang lain. Sepeti firman Allah swt:
• للذكر مثل حظ الانثيين ( النساء : 11
• فجلدوهم ثمانين جلدة ( النور : 4 )

Sebagaimana ianya juga terdapat di dalam sunnah yang
mutawatir samada qauliyyah (قولية ) seperti hadis atau hadis a'maliyyah
(سنة عملية ) seperti thubutnya kewajipan solat lima waktu. Subuh dua rakaat, Zohor empat rakaat, Maghrib tiga rakaat dan sebagainya.

ii) النص القطعى الثبوت والظنى الدلالة
Contoh (النص القطعى الثبوت الظنى الدلالة ) ialah Al-Quran dan Hadis mutawatir. Kebanyakkan nas ( الظنى الدلالة ) kerana boleh diihtimalkan lafaz lughah dari takhrij, taqyid, majaz dan sebagainya.

iii) النص الظنى الثبوت والقطعى الدلالة
Contoh (النص الظنى الثبوت والظنى الدلالة ) seperti hadis Ahad yang memberi makna qat'ie dan tidak difahami selain darinya. Dan sebahagian hadis Ahad boleh meningkat kepada Mutawatir di sisi sebahagian besar ulama' dengan adanya qarinah dan syahid.

iv) النص الظنى الثبوت والدلالة
Contoh (النص الظنى الثبوت الدلالة ) ialah kebanyakkan Hadis Ahad.

Para ulama' membahagikan maslahah kepada tiga bahagian :38
i) Maslahah Mu'tabarah (مصلحة معتبرة )
Iaitu maslahah yang ditentukan oleh hukum Islam dengan menentukan hukumannya secara putus ke arah memelihara perkara-perkara yang penting bagi menusia yang dikenali dengan al-kuliyyah yang lima.

ii) Maslahah mulghah (مصلحة ملغاة )
iaitu yang dinamakan maslahah oleh sesetengah berdasarkan kepentingan maudu' atau golongan mengikut perhitungan aqal semata-mata di mana maslahahnya diragukan kerana di dalamnya terkandung perkara-perkara yang membawa mudharat. Maka Islam membatalkanya dan maslahahnya dilaghakan seperti meminum arak untuk menenangkan fikiran. Para ulama' sepakat menghukum tidak sah sesuatu hukum yang dibina atas maslahah ini.

iii) Al-Masolih Al-Mursalah (المصالح المرسلة )
Iaitu perkara yang dikira maslahah tanpa dalil daripada syara' meneyapkan atau membatalkannya. Ia dianggap maslahah apabila membawa manfaat dan menolak mudharat atau keburukkan. Dan dinamakan maslahah kerana tidak ada penentuan daripada hukum syara' menerima atau menolak.

Apabila kita mengetahui tentang pembahagian nas-nas syara' dan maslahah, dapatlah kita fahami bahawa sesungguhnya nas yang qat'ie itu mustahil sama sekali bertembung dengan maslahah yang qat'ie kerana qat'ie tidak akan bertembung. Jika berlaku juga pertembungan antara keduanya, maka maslahah bukanlah qat'ie tetapi ia adalah Mauhumah.
Dan di antara ciri-ciri khusus maslahah syariyyah ialah maslahah yang masdarnya adalah petunjuk syara' bukannya hawa nafsu dan aqal semata-mata kerana aqal manusia terbatas dan di antara ciri-ciri yang juga maslahah agama adalah asas kepada maslahah yang lain.39

Kesimpulan
Dari hasil perbincangan ini jelaslah kepad kita bahawa Faisal Othman tidak memahami makna (قطعية الثبوت والدلالة ) dan tidak memahami di sana terdapat maslahah yang diiktibar dan dipakai dan maslahah yang diilgha' dan ditolak oleh syara'.

Jawapan Kedua
Faisal Othman berhujjah dengan kenyataannya berdasarkan kepada Najmuddin At-Tufi.40 At-Tufi ketika mensyarahkan hadis (لاضرر ولا ضرار ) yang merupakan salah satu hadis alArbai'in An-Nawawiah menyatakan:
" Apabila berlakunya percanggahan antara nas dan ijma' dengan maslahah maka hendaklah didahulukan maslahah dengan jalan takhsis dan bayan bagi keduanya bukannya dengan jalan ta'til."

Dr. Yusof Al-Qardhawi menyebut di dalam bukunya :
"Mereka yang membincangkan mengenai at-Tufi samada yang menyokong atau membangkang, menyatakan yang dimaksudkan dengan nas oleh at-Tufi ialah nas qat'ie sebagaimana yang jelas dapat dilihat dalam penulisan-penulisan mereka sepeti kitab Dr.Mustaffa Zaid (المصلحةوالتشريع الاسلامى و نجم الديت الطوفى ) . Dr.Said Ramadhan al-Buti (ضوابط المصلحة فى الشرع الاسلامى ) dan lain lagi.41
Pada mulanya saya juga berpendapat demikian. Tetapi apabila saya merujuk kembali tulisan at-Tufi dan membacanya dengan teliti, saya dapati bahawa nas yang dimaksudkan oleh beliau bukannya nas qat'ie. Ketika saya membaca risalah yang ditulis oleh Dr.Hussin Hamid Hassan (نظرية المصلحة فى الفقه اللسلامى ) saya dapati bahawa beliau menjelaskan bahawa nas yang dimaksudkan oleh At-Tufi ialah nas yang dhonni.42


Jawapan Ketiga
Perlu diketahui bahawa konsep maslahah seumpama ini telah ditolak sepenuhnya oleh jumhur ulama'. Dr. Wahbah Az-Zuhaili berkata bahawa prinsip maslahah at-Tufi kesemuanya sebagaimana yang telah beliau terangkan di dalam kitabnya 'usul Fiqh' sebagai suatu fahaman yang lemah dan palsu.43
Konsep penggunaan maslahah secara mutlak di dalam membuat penetapan mempunayi persamaannya dengan aliran yang dinamakan Utilitarianisme.44

4.3 المدرسة الوسطية

Madrasah yang ketiga juga dalam al-maqasid ialah madrasah yang dikenali dengan (المدرسة الوسطية ) yang menghubungkan antara nusus dan maqasid.
Hukum syariat dibina di atas 'illah untuk maslahah manusia. Di antara nama Allah adalah al-Hakim tidak mensyariatkan sesuatu yang sia-sia. Oleh kerana itulah , para ulama' telah hampir ijma' berlakunya 'illah dalam hukum dan menghubungkannya dengan maslahah.45

4.3.1 Pentakrifan Wasatiyyah Secara Umum

Untuk memahami konsep wasatiyyah kita tidak seharusnya melihat satu sudut
sahaja. Contohnya dari sudut bahasa. Wasatiyyah beerti pertengahan atau sesuatu yag berada di tengah-tengah antara dua bahagian bagi mengelakkan kekeliruan dan kesalahfahaman di dalam memahami konsep ini. Kita seharusnya mengambil takrifan dari Al-quran yang menyebut ummah waasatiyyah sebagaimana dalam surah Al-Baqarah ayat 143 :
وكذلك جعلنا أمة وسطا لتكون الشهداء على الناس

Perkara ummah wasatiyyah ini telah ditakrifkan oleh ayat 110 surah Al-Imran :
كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون با المعروفوتنهون عن المنكر وت}منون بالله

Perkataan wasatiyyah disebut peda beberapa tempat di dalam al-Quran .46

i) فأثر ن به نقعا فوسطن به جمعا - Surah 'Aadiyaat : 45
ii) وكذلك جعلناكم أمة وسطا لتكونوا شهداء على الناس - Surah Al-baqarah:143
iii) كفارته اطعام عشرة مساكين من اوسط ما تطعمون اهليكم اوكسوتهم او تحرير رقبة
Surah al-Maidah : 89
iv) قال أوسطهم ألم أقل لكم لو لا تسبحون - surah al-Qalam - 28
v) حافظوا على الصلوات والصلاة السطى وقوموا لله قانتين
Surah al-baqarah : 238

4.3.2 Cara Menspesifikasikan ( Dhobit) Tawassut Dalam Fiqh Islam

Setiap hukum mempunyai had dan qadarnya. Dengan sebab itu, bagi memudahkan kita mengspesifikasikan satu-satu hukum itu atau menjadi alat pengukur kepada dakwaan yang salah mengenai konsep wasatiyyah. Ulama'telah menggariskan beberapa perkara agar hukum yang diasaskan di atas dasar wasatiyyah tidak terkeluar daripada kehendak syara' :47

i) Keadaan sesuatu hukum yang diasaskan dengan wasatiyyah hendaklah masuk di bawah asal daripada kisah-kisah agama. Di mana hukum tersebut tidak terkeluar daripada jauhar Islam, roh dan dasar-dasar Islam.

ii) Keadaan hukum yang diasaskan dengan wasatiyyah hendaklah tidak
berlawanan dengan apa-apa yang sudah maklum secara pasti di dalam agama

iii) Dan keadaan hukum yang diasaskan dengan wasatiyyah juga hendaklah tidak bercanggah dengan mana-mana ketapan Islam yang melarang daripada bertambah atau berkurang daripada hukum sebenarnya kerana masalah syar'ie seperti tasydid di dalam menthabitkan perbuatan zina melainkan dengan empat orang saksi adil yang disepakati di atas penyaksian tersebut.

iv) Keadaan konsep wasatiyyah yang diijtihadkan oleh faqih hendaklah
yang bukan mempunyai nas yang nyata. Jika terdapat nas yang nyata ia hendaklah dihukum berdasarkan nas tanpa nasihat kepada konsep wasatiyyah.

v) Keadaaan hukum yang diasaskan dengan wasatiyyah tidak membawa kepada kerosakkan yang lebih besar. Sekiranya berlaku sebaliknya, hendaklah ditinggalkan wasatiyyah lalu diambil sesuatu hukum atau cara yang dapat menolak kemusnahan atau kerosakkan kita (سد الذرائع )

vi) Keadaan konsep wasatiyyah didalam mengislahkan maslahah
hendaklah di atas bentuk yang halal dan istimror bukannya sementara yang boleh membawa kepada ifrat ( الافراط ) dan tafrit (التفريط ) . Tasydid atau tasahhul. Seperti melihat kepada ajnabiah atau amrad dengan syahwat atau berkhalwat dengan salah seseorang daripada mereka. Ini bersifat sementara sahaja, sehinggalah amrad tersebut baligh atau perempuan tersebut dikahwini seperti kaedah fiqhiyyah.
vii) Apabila hilang mani' maka kembalilah apa yang dilarang sebelumnya
(اذا زال المانع عد الممنوع )48

4.3.3 Membezakan di Antara Ibadah Dan Muamalah (التمييز بين العبادة و المعاملات )

Madrasah wasatiyyah memahami perkara ini sebagaimana yang disebut oleh Al-Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna rahimahullah di dalam usul yang kelima beliau menyatakan : 49
والاصل فى العبادات هو التعبدون الالتفات الى المعانى والمقاصد وفى المعاملات دون الالتفات الى المعانى والاسرار والمقاصد )

Sebenarnya perkataan asy-Syahid ini diambil dari satu kaedah yang
disebut oleh Imam Asy-Shatibi di dalam kitabnya Al-Muafaqat :
هذه القاعدة المهمه فى المسألة ( الثانبة عشرة ) من مقاصد الشريعة للامتثال وهى : ان الاصل فى العبادات بالنسبة الى المكلف . التعبد دون الالتفات الى المعانى , واصل العادات ( يعنى المعاملات ) الالتفات الى المعانى )

Zahir nas : ( asal bagi ibadah ialah ta'abbudi dan asa bagi muamalah
adalah ma'qul al-makna atau ruh an-nas )

Perkataan (التعبد ) ialah suatu ibadah yang dimasyru'kan tanpa diketahui
apakah 'illahnya seperti solat Zohor empat rakat, tawaf tujuh kali dan sebagainya. Apabila sesuatu iabadah itu (تعبدى ), maka kita mesti menerima arahan itu samada faham hukumnya ataupun tidak, logik atau tidak atau tahu 'illahnya atau tidak.

Maksud (روح النص ) atau (معقول النص ) adalah ssuatu ibadah yang
dimasyru' kemudian para ulama' cuba mencari 'llah di sebalik hukum tersebut. Sekiranya mereka memahami 'illah hukum maka dinamakan(معقول النص ) jika mereka tidak memahami 'illah hukum, maka ia dinamakan تعبدى . Untuk mengetahui 'illah hukum, maka perlu memahami ilmu Usul Fiqh (di dalam bab qias).

Sebenarnya masalah تعبدى dan معقول النص bukanlah sesuatu yang baru bagi mereka yang mendalami ilmu tarikh tasyri'.50 Masalah ini mula timbul di zaman Nabi Muhammad saw apabila selesai dari peperangan Khandak. Nabi telah mengarahkan para sahabat dengan sabdanya :
(لا يصلين احدكم العصر الا فى بنى قريظة )

Lalu para sahabat bersegera menuju ke kampung Bani Quraizah apabila sampai di pertengahan jalan, matahari telah hampir terbenam, maka sebahagian sahabat mengerjakan solat asar kerana mereka berpendapat arahan Nabi saw memberi makna 'bersegera' bukannya mesti solat di Bani Quraizah. Sebahagiannya lagi meneruskan perjalanan sehingga sampai ke perkampungan Bani Quraizah setelah terbenamnya matahari. Kemudian barulah mereka mendirikan solat Asar di perkampungan tersebut kerana mereka beranggapan apa yang diucapkan oleh Nabi itulah yang mesti dibuat tanpa ta'wil.

Kedua-dua golongan sahabat telah menceritakan kisah ini kepada
baginda saw dan baginda telah mengakui perbuatan mereka. Golongan pertama berpegang kepada روح النص atau معقول النص . Manakala golongan kedua berpegang kepada zahir nas تعبدى . Kedua-dua golongan di atas merupakan dua golongan ulama' yang mewarnai hukum-hukum Islam.


5.0 Penutup

Demikianlah yang dapat dikemukakan sebagai bahan perbincangan untuk warathah Anbiya'. Semoga perbahasan fiqh nusus yang merupakan unsur pertamadan semoga pembentangan dalam fiqh siasah syari'yyah ini dapat memberikan manfaat kepada kita bersama.

No comments:

Popular Posts