02 June 2009

Syariah Islam Dan Hukum Fiqh

Syariah Islam menetapkan bagi setiap sesuatu amalan manusia tidak terlepas daripada hukum yang ditetapkan oleh Allah. Hukum yang ditetapkan oleh Allah itu pula bertujuan untuk menjaga kemaslahatan manusia sama ada kemaslahatan di dunia mahu pun akhirat. Hukum-hukum Allah ditetapkan berasaskan kepada dua sumber teks utama iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang sahih. Berasaskan kedua-dua sumber inilah umat Islam menjalankan kehidupan seharian mereka dalam pelbagai aspek.

Walau bagaimanapun, bilangan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah adalah terlalu terhad untuk meliputi setiap kes dalam kehidupan manusia. Teks al-Quran atau hadis jika dikira, adalah sangat terhad berbanding perubahan masa, budaya, dan sistem sosial umat di seluruh dunia sejak beribu tahun yang lampau hingga kini. Atas sebab inilah Allah s.w.t tidak menurunkan al-Quran dalam bentuk kes-kes terperinci, tetapi memberi panduan serta prinsip umum yang boleh dipakai oleh segenap masyarakat dunia pada setiap masa. Prinsip-prinsip umum ini tidak akan berubah selama-lamanya, tetapi pada masa yang sama memberikan fleksibiliti kepada umat Islam untuk menganalisis dan melaksanakan sesuatu hukum, sesuai dengan ciri-ciri khusus mereka.

Prinsip-prinsip dan hukum yang bersifat umum di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah ini akan diinterpretasikan oleh para sarjana untuk dilaksanakan dalam realiti kehidupan umat Islam. Proses melakukan interpretasi terhadap teks, seterusnya menganalisis dan melaksanakan hukum ini dinamakan ijtihad. Menurut Yusuf al-Qaradawi, di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah, secara umumnya terdapat dua bentuk hukum iaitu hukum yang bersifat putus dan jelas dan hukum yang bersifat spekulatif. Hukum yang bersifat putus dan jelas ini adalah merupakan prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah dan tidak akan mengalami sebarang perubahan lagi. Manakala hukum yang bersifat spekulatif, menurut al-Qaradawi lagi, sengaja ditinggalkan begitu untuk memberikan fleksibiliti kepada para mujtahid, untuk mengeluarkan hukum yang sesuai dengan realiti semasa mereka dan berkesinambungan dengan prinsip-prinsip asas Syariah.

Perlu difahami sebelum seseorang itu mengeluarkan apa-apa kenyataan yang disangka bermutu tetapi sebaliknya menyerlahkan kedangkalan ilmu, Syariah dan hukum fiqh adalah berbeza sifatnya. Syariah, ialah prinsip2 yang telah dinyatakan jelas oleh al-Quran dan al-Sunnah. Syariah tidak akan berubah, sejak dari nabi Muhammad hingga ke hari kiamat. Berbeza dengan hukum fiqh. Hukum fiqh terhasil daripada ijtihad para mujtahid. Hukum fiqh tidak bersifat muqaddas, dan boleh ada kemungkinan perubahan dan kesilapan. Ini kerana, hukum fiqh ialah tafsiran, interpretasi para mujtahid pada setiap zaman, sesuai dengan realiti dan kemaslahatan masyarakat zaman mereka. Justeru, perubahan hukum fiqh berasaskan kepada perubahan zaman adalah satu prinsip Syariah yang mahukan kemaslahatan tertegak pada setiap masa dan tempat. Inilah prinsip yang tidak berubah. Yunus atau Ismail tetap yunus dan ismail, walau pakaian fesyen jenis apa yang dia pakai.

Dalam dunia moden hari ini, dengan wujudkan perkembangan sains bio-genetik, telekomunikasi, perniagaan, perbankan dan sistem kewangan, sudah tentu proses ijtihad semakin diperlukan untuk menyesuaikan pelaksanaan hukum fiqh dengan realiti semasa. Para sarjana Islam bagaimana pun telah menetapkan beberapa kaedah supaya ijtihad yang dilakukan oleh seseorang sarjana itu tidak lari daripada prinsip-prinsip asas Syariah yang dinamakan sebagai kaedah Usul al-Fiqh. Berasaskan teori-teori dalam disiplin ilmu Usul Fiqh inilah para sarjana melakukan ijtihad sama ada berasaskan empat sumber al-Quran, al-Sunnah, al-Ijma` atau al-Qiyas. Selain daripada sumber utama ini, para ulama’ juga telah mengemukakan pelbagai doktrin dan kaedah iaitu al-istihsan, al-istishab, al-masalih al-mursalah, sadd al-dhara’i` dan al-`urf untuk memastikan Syariah Islam berjalan di atas semangat “maqasid al-syari’ah�nya yang sebenar. Sumber-sumber sekunder inilah yang memberi ruang yang luas kepada para mujtahid untuk melakukan ijtihad.


Dalam urusan perniagaan, atau kewangan, fiqh al-mu`amalah memainkan peranan yang besar untuk menentukan hukum-hukum yang sesuai bagi memastikan tercapainya kehendak-kehendak Syariah (maqasid al-syariah) dengan tepat. Perubahan bentuk urus niaga dan perniagaan pada masa kini memerlukan sumbangan yang tidak sedikit daripada ijtihad para ulama’. Ijtihad para ulama’ silam yang berasaskan kemaslahatan masyarakat dalam realiti semasa mereka perlu dikaji semua berasaskan sumber-sumber Syariah sama ada sumber utama mahupun sumber sekunder. Seperti yang dijelaskan, al-`Urf, dianggap satu sumber sekunder yang penting, dalam proses analisis para sarjana untuk menentukan hukum.

BAGAIMANA IJTIHAD BERLAKU?


Ijtihad ialah suatu proses penyelidikan yang serius yang dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh sarjana untuk menerbitkan hukum-hukum yang bersifat amali. Ijtihad proses ijtihad hanya berlaku terhadap hukum-hukum yang tidak jelas yang wujud di dalam al-Quran atau al-Sunnah, sama ada ketidakjelasan itu berpunca daripada lafaz yang terlalu umum, ataupun berpunca daripada kredibiliti dalil yang digunakan itu sendiri.

Sekiranya sesuatu dalil teks telah jelas dan putus, jelas maknanya tanpa boleh ditakwilkan lagi, dan dalil itu pula disahkan berautoriti, maka ijtihad tidak lagi perlu. Ijtihad biasanya berlaku dengan mengambil pengajaran2 di dalam sumber hukum seperti quran dan sunnah untuk direalisasikan dalam realiti semasa yang memerlukan hukum untuk diamalkan.

Hanya para sarjana yang cukup syarat ijtihad sahaja yang layak melakukan pengujian terhadap hukum ini. Jika sarjana itu kurang layak dalam satu -satu aspek, tetapi amat pakar dalam aspek2 yang lain, maka dia boleh mendapatkan kepakaran2 daripada para sarjana lain. Konsep ini dipanggil ijtihad kolektif, yang berasaskan kepada specialist (tajazzu' al-ijtihad). Contoh mudah ialah penentuan hukum dalam euthanasia atau mercy killing. Ketika ini, mungkin para sarjana fiqh dan sarjana perubatan boleh bergabung fikiran untuk melakukan ijtihad secara kolektif. Begitu juga dalam kes-kes seperti GM Food atau Genetically Modified Food, para sarjana fiqh perlu mendapatkan pandangan2 pakar dalam bidang bio-tech and vice verca.

Kajian mendapati terlalu banyak kes kes hukum fiqh terutama dalam bab-bab kepenggunaan yang wujud di dalam fiqh terdahulu memerlukan perubahan dalam konteks semasa. Fiqh yang terbina dalam konteks umat dahulu tersusun di atas asas penyelidikan yang terhad dalam ruang lingkup teknologi dan situasi semasa mereka.

No comments:

Popular Posts