27 March 2010

I'tikaf: Jalan Mencari Ketenangan

I‘tikaf ialah suatu ibadah yang mempunyai kelebihan dan hikmat tertentu. Di antaranya membersihkan hati daripada sifat-sifat yang tercela, menyerahkan diri sepenuhnya beribadah kepada Allah demi memohon darjat yang tinggi, menjauhkan diri daripada kesibukan dunia yang menghalang daripada mendekatkan diri kepadaNya.

Maksud asal pensyariatan i‘tikaf itu ialah menanti sembahyang untuk berjemaah. Diibaratkan orang yang beri‘tikaf itu seperti Malaikat yang tidak melakukan dosa kepada Allah, melakukan segala apa yang disuruh dan bertasbih malam dan siang. (Al-Mausu‘ah Al-Feqhiyyah: 5/207)

I‘tikaf tidak terikat dengan waktu bahkan sunat beri‘tikaf pada setiap waktu, sama ada di bulan Ramadhan mahupun di bulan-bulan lain. Cuma ia lebih dituntut dan afdhal, jika dilakukan pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan kerana fadhilat beri‘tikaf pada bulan tersebut lebih banyak dibandingkan waktu-waktu pada bulan-bulan lain.

Pengertian I‘tikaf
I‘tikaf dari segi bahasa bermaksud diam dan duduk berhenti pada sesuatu tempat, tidak kira sama ada tempat itu baik atau sebaliknya. Manakala menurut pengertian syarak i‘tikaf bermaksud duduk di dalam masjid oleh seseorang yang tertentu dengan niat. (Al-Fiqh Al-Islam Wa Adillatuh: 2/693)

Tuntutan I‘tikaf

I‘tikaf disyariatkan dalam Islam melalui Al-Qur’an, As-Sunnah dan ijma‘ ulama.
Di antara dalil-dalil yang menunjukkan tentang tuntutan i‘tikaf itu sebagaimana Allah Ta‘ala berfirman yang tafsirnya :
“Dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beri‘tikaf di dalam masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa”.
(Surah Al-Baqarah: 187)

Allah berfirman di dalam ayat yang lain yang tafsirnya :
“Dan ingatlah ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk beribadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Maqam Ibrahim (tempat berdiri Nabi Ibrahim) itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Isma‘il (dengan berfirman): “Bersihkanlah RumahKu (Ka‘bah dan Masjid Al-Haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beri‘tikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang ruku‘ dan sujud”.
(Surah Al-Baqarah: 125)

Dalil daripada As-Sunnah pula ialah hadis riwayat Ibnu ‘Umar, Anas dan ‘Aisyah Radhiallahu ‘anhum yang maksudnya :
“Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma telah berkata: “Sesungguhnya Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam beri‘tikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan”.
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain yang maksudnya :
“Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha iaitu isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam beri‘tikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Baginda melakukan amalan i‘tikaf tersebut sehingga Baginda wafat. Kemudian para isteri Baginda meneruskan amalan i‘tikaf selepas itu”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Ulama sepakat mengenai pandangan Az-Zuhri yang mengatakan: “Sungguh anih manusia, bagaimana boleh mereka meninggalkan i‘tikaf. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu tetapi Baginda tidak pernah meninggalkan i‘tikaf sehingga wafat”. I‘tikaf juga pernah terdapat di dalam syariat Nabi Ibrahim ‘alaihissalam (Al-Fiqh wa Adillatuhu: 2/694) sebagaimana dalam firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :
“Dan kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Isma‘il (dengan berfirman): “Bersihkanlah RumahKu (ka‘bah dan Masjid Al-Haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf dan orang-orang yang beri‘tikaf (yang tetap tinggal padanya) dan oang-orang yang ruku‘ dan sujud”.
(Surah Al- Baqarah: 125)

Hukum Dan Waktu I‘tikaf

Hukum i‘tikaf adalah sunat muakkad. Ia dilakukan pada setiap waktu sama ada dalam bulan Ramadhan ataupun pada bulan-bulan lain. Afdhal melakukan i‘tikaf itu pada sepuluh hari yang terakhir daripada bulan Ramadhan (Nihayah Al-Muhtaj: 3/214) sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Menurut Imam As-Syafi‘e dan para pengikutnya, bagi orang yang ingin mendapatkan pahala sunnah (mengikut perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan i‘tikaf 10 terakhir bulan Ramadhan) sayugialah dia masuk masjid dengan niat i‘tikaf sebelum masuk matahari hari ke 20 (malam ke 21) Ramadhan dan keluar daripada masjid pada malam hari raya selepas masuk matahari. Malahan lebih afdhal lagi jika dia kekal di dalam masjid hingga malam hari raya dan sembahyang hari raya serta keluar pada hari raya tersebut. (Raudhah: 2/255 dan Al-Majmuk: 6/469)

Bagi sesiapa yang beri‘tikaf sehari semalam atau lebih hendaklah memulakan i‘tikaf itu (di masjid) sebelum matahari terbenam dan keluar daripada masjid setelah masuk matahari hari berikutnya. (Al-Majmuk: 6/483)

Kategori I‘tikaf

I‘tikaf terbahagi kepada dua iaitu i‘tikaf sunat dan i‘tikaf wajib. I‘tikaf sunat ialah berniat i‘tikaf sunat kerana Allah Ta‘ala sama ada dengan masa sebentar (lahzah), satu hari, satu hari satu malam atau sebagainya. Manakala i‘tikaf wajib hanya dengan cara bernazar untuk melakukannya sebagaimana pendapat jumhur ulama mengenainya. (Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyah: 5/208)

Rukun I‘tikaf

Rukun I‘tikaf ada empat perkara:

1. Mu‘takif iaitu orang yang mengerjakan i‘tikaf. Syarat bagi orang yang beri‘tikaf itu hendaklah beragama Islam, berakal, suci daripada junub, haid dan nifas. I‘tikaf itu sah dilakukan oleh lelaki, perempuan dan kanak-kanak mumayyiz.
2. Mu‘takiffun fihi iaitu tempat melakukan i‘tikaf. Tempat i‘tikaf disyaratkan di dalam masjid kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, isteri dan para sahabat Baginda hanya beri‘tikaf di dalam masjid. Tidak ada perbezaan dari segi hukum, beri‘tikaf di dalam masjid, sama ada di atas bumbung (suthuh), beranda dan halaman (ruhbah) masjid. (Tuhfah Al-Muhtaj: 3/464 dan Nihayah Al-Muhtaj: 3/216) Imam As-Syafi‘e dan pengikutnya bersepakat mengenai menara masjid yang terletak di halaman masjid yang dinaiki oleh bilal dan lainnya juga tidak membatalkan i‘tikaf. (Al-Majmu‘: 6/494-496)
Menurut pengarang kitab Tuhfah beri‘tikaf adalah lebih utama dilakukan di Masjid Jami‘ (masjid tempat mendirikan sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah) berbanding dengan masjid lain. Ini adalah untuk mengelak daripada bercanggah (khilaf) dengan pendapat yang mewajibkannya. Lagipun berjemaah di masjid Jami‘ lebih ramai dan tidak perlu lagi keluar untuk bersembahyang Jumaat. (Tuhfah Al-Muhtaj: 3/465).

I'TIKAF : JALAN MENCARI KETENANGAN
(BILANGAN 150 BAHAGIAN KEDUA)


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Mengikut qaul jadid pula, seorang perempuan tidak sah beri‘tikaf di masjid rumahnya (bilik khas sembahyang di dalam rumah) sebab ia bukan masjid, buktinya ialah masjid rumah tidak dilarang orang yang berjemaah duduk di dalamnya untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang di dalam masjid seperti berhenti bagi orang yang junub di dalam masjid dan sebagainya. Di samping itu isteri-isteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga melakukan i‘tikaf di dalam masjid. (Tuhfah Al-Muhtaj: 3/366)
Menurut pendapat yang ashah di kalangan ulama Syafi‘eyah, (Al-Majmu‘: 6/473) seseorang yang bernazar untuk beri‘tikaf di dalam mana-mana masjid selain daripada Masjid Al-Haram, Masjid An-Nabawi dan Masjid Al-Aqsa, maka nazar itu adalah harus bahkan dia boleh melakukannya di mana-mana masjid kecuali jika dia bernazar untuk beri‘tikaf di dalam salah sebuah daripada tiga masjid (iaitu Masjid Al-Haram, Masjid An-Nabawi dan Masjid Al-Aqsa), maka dia wajib beri‘tikaf di dalam masjid yang ditentukan itu. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Umar Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya :
“Sesungguhnya ‘Umar bin Al-Khattab telah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Beliau berkata: “Aku telah bernazar pada ketika zaman Jahiliyah untuk beri‘tikaf satu malam di Masjid Al-Haram?”

Baginda menjawab dan bersabda: “Laksanakanlah nazar engkau”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Kesimpulannya ulama mazhab Maliki dan Syafi‘e mengharuskan i‘tikaf di mana-mana masjid, sementara ulama mazhab Hanafi dan Hanbali mensyaratkannya di masjid Jami‘. Manakala jumhur ulama tidak mengharuskan i‘tikaf di masjid rumah (bilik khas sembahyang di dalam rumah) sedangkan ulama mazhab Hanafi pula mengharuskan demikian kepada orang perempuan. (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu: 699-700)

3. Al-lubthu iaitu berhenti di dalam masjid. Menurut pendapat ashah ulama Syafi‘e disyaratkan tempoh berhenti itu panjang sedikit daripada masa thuma‘ninah di dalam sembahyang sama ada dalam keadaan berdiri, duduk atau sambil berjalan di ruangan masjid. Tidak memadai sekadar thuma‘ninah atau kurang daripada itu. Bahkan lama berhenti itu tidak ditentukan masanya sehinggakan berniat nazar i‘tikaf bagi tempuh sebentar atau selama satu jam, sah i‘tikaf tersebut. Menurut Imam Syafi‘e afdhal berniat i‘tikaf selama satu hari bagi mengelakkan daripada khilaf (percanggahan ulama).

Sunat berniat i‘tikaf untuk mendapatkan pahala bagi orang yang melintas (lalu) dalam masjid seperti masuk dari pintu dan keluar dari pintu lain dan sebagainya, dan tidak memadai i‘tikaf itu bagi orang lalu dalam masjid tanpa niat.

4. Niat: Ketika hendak memulakan i‘tikaf disyarat berniat i‘tikaf. Ia tidak sah dilakukan tanpa niat sama seperti sembahyang dan ibadah-ibadah lain kerana niat itu adalah ibadah sama ada ibadat itu berbentuk wajib seperti nazar atau selainnya. Matan Kitab Al-Minhaj menyebutkan bahawa disyaratkan niat ketika memulakan i‘tikaf dan begitu juga ketika melakukan i‘tikaf nazar (wajib). Ini bertujuan untuk membezakan dengan i‘tikaf sunat, sebagaimana dinyatakan oleh Khatib As-Syarbini pengarang kitab Mughni Al-Muhtaj. (1/453)

Menurut Imam An-Nawawi pula, memadai i‘tikaf jika seseorang berniat i‘tikaf secara mutlaq (tidak menentukan masa i‘tikaf) sekalipun lamanya satu hari atau satu bulan. Dalam kes tidak menentukan masa i‘tikaf ini, jika dia keluar daripada masjid kemudian masuk semula ke dalam masjid, hendaklah dia memperbaharui niat i‘tikafnya sekalipun keluar kerana qadha hajat atau sebagainya. Kecuali ketika dia keluar untuk mengqadha hajat itu dia berazam untuk masuk semula, tidaklah perlu memperbaharui niatnya. (al-Majmuk: 6/487 dan Mughni Al-Muhtaj:1/453)

Bagi i‘tikaf yang ditentukan masanya seperti berniat i‘tikaf sunat selama satu hari atau satu bulan atau berniat nazar selama beberapa hari (tidak ditentukan masanya) dan tidak pula disyaratkan berturut-turut, dalam perkara ini menurut qaul ashah, tidak wajib memperbaharui niat jika seseorang itu hendak keluar bagi tujuan qadha hajat dan masuk semula ke dalam masjid. Kecuali bagi tujuan yang lain (selain qadha hajat) sekalipun masanya itu panjang atau sekejap, disyaratkan memperbaharui niat i‘tikaf itu. (Al-Majmuk: 6/487 dan Mughni Al-Muhtaj:1/453)
Begitu juga bagi i‘tikaf nazar beberapa hari dengan berturut-turut, jika dia keluar masjid sehingga memutus hari berturut-turut itu dengan tujuan yang lain (selain qadha hajat atau mandi junub kerana bermimpi) disyaratkan baginya memperbaharui niat. Akan tetapi, jika dia keluar bagi tujuan qadha hajat atau mandi junub kerana bermimpi tanpa memutus hari berturut-turut tersebut, tidaklah wajib memperbaharui niatnya. (Al-Majmuk: 6/487-488 dan Mughni Al-Muhtaj: 1/454)

Puasa Bagi Orang Yang Beri‘tikaf

Menurut Imam Syafi‘e dalam qaul jadid dan para pengikutnya bahawa harus juga melakukan i‘tikaf itu tanpa berpuasa, akan tetapi afdhal melakukan i‘tikaf itu dengan berpuasa. I‘tikaf juga sah di waktu malam sahaja dan pada hari-hari Tasyriq dan hari raya. Walau bagaimanapun menurut kebanyakan ulama Syafi‘e puasa bukanlah syarat bagi sahnya i‘tikaf.

Jika seseorang itu bernazar melakukan i‘tikaf satu hari atau lebih dengan berpuasa, maka memadailah dia melakukan i‘tikaf dengan puasa tanpa khilaf (percanggahan) ulama dan tidak diasingkan puasa itu daripada i‘tikaf. Begitulah juga sebaliknya. Manakala jika seseorang itu bernazar i‘tikaf dan puasa atau bernazar i‘tikaf dengan berpuasa, bolehkah kedua-duanya disatukan? Menurut pendapat yang ashah di kalangan mazhab Syafi‘e memadai keduanya disatukan dan itulah pendapat jumhur dan nash daripada perkataan Imam As-Syafi‘e. (Al-Majmuk: 6/475-477) Bahkan wajib disatukan sebagaimana disebut dalam matan kitab Mughni Al-Muhtaj (1/453)

I‘tikaf Bersyarat

Seseorang yang bernazar untuk melakukan i‘tikaf selama beberapa hari dan disyaratkan dalam nazarnya itu bahawa dia akan keluar sekiranya dihinggapi penyakit atau kerana menziarahi pesakit atau keluar kerana mencari ilmu, maka sah syarat-syaratnya itu. Oleh itu dia dibolehkan keluar melakukan perkara-perkara yang disyaratkan dalam nazarnya tetapi hendaklah dia bersegera kembali beri‘tikaf sebaik sahaja kerja-kerja itu selesai. Sekiranya dia lambat kembali tanpa uzur, batal i‘tikafnya dan dia hendaklah memulai semula i‘tikafnya dan wajib memperbaharui niat i‘tikaf tersebut. (Al-Majmuk: 6/520 & 488)

Hukum Mengenai Perempuan Yang Beri‘tikaf

Perempuan sah melakukan i‘tikaf sebagaimana para isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya. Untuk jelasnya beberapa hukum mengenai perempuan yang beri‘tikaf sebagaimana disebutkan dalam kitab Al-Majmuk (Al-Majmuk: 6/470-471):
1. Tidak sah dan tidak harus seorang perempuan beri‘tikaf tanpa izin daripada suami. Jika isteri bernazar untuk melakukan i‘tikaf dengan kebenaran suami, sebagai contoh ia ditentukan selama 2 hari, menurut Imam An-Nawawi harus bagi isteri tersebut masuk ke masjid tanpa memerlukan izin daripada suami, kerana kebenaran nazar itu adalah izin untuk masuk ke masjid. Jika nazar tersebut tidak ditentukan dengan masa, maka tidak harus bagi isteri masuk ke masjid tanpa izin suami.
2. Jika seorang isteri masuk masjid melakukan i‘tikaf sunat tanpa izin suami atau sebaliknya, maka harus bagi suami melarang meneruskan i‘tikaf itu tanpa khilaf (percanggahan ulama).
I'TIKAF : JALAN MENCARI KETENANGAN
(BILANGAN 150 BAHAGIAN AKHIR)


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
'
Manakala isteri yang berniat i‘tikaf dengan nazar tanpa izin suami, maka suami boleh melarang isteri daripada melakukannya i‘tikaf itu. Jika isteri meneruskan i‘tikafnya itu, maka bagi suami berhak melarang atau menegah daripada meneruskan i‘tikaf tersebut. Sebaliknya jika isteri diizinkan oleh suami melakukan i‘tikaf tersebut sama ada dengan ditentukan masa i‘tikaf atau sebaliknya dan i‘tikaf itu disyaratkan dengan berturut-turut maka tidak harus bagi suami menegah isteri daripada berbuat demikian. Kerana penentuan masa tidak harus diakhirkan dan syarat berturut-turut itu tidak harus diselang-selikan. Demikian juga tidak harus membatalkan ibadah wajib ketika melakukan ibadah tanpa uzur.
Menurut pendapat al-ashah, jika isteri mendapat izin melakukan i‘tikaf tanpa menentukan masanya dan tidak disyaratkan berturut-turut, maka suami boleh menegah isterinya melakukan i‘tikaf tersebut.
Perkara Yang Harus Dilakukan Oleh Orang Yang Beri‘tikaf
Imam An-Nawawi dalam kitab Al-Majmuk (6/514-517) telah menyebutkan perkara-perkara yang harus dilakukan oleh orang yang beri‘tikaf, iaitu:
1. Harus bagi orang yang beri‘tikaf itu bersuci, mandi dan menghias diri. Di samping itu dia mestilah menjaga kebersihan masjid. Sesungguhnya telah sabit bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tatkala sedang beri‘tikaf di masjid telah menghulurkan kepalanya kepada isterinya ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang berada di dalam biliknya untuk disikatkan kepala Baginda pada hal isteri Baginda pada waktu itu sedang haid, sebagaimana dalam satu riwayat disebutkan:
Maksudnya: “Sesungguhnya ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menghulurkan kepala Baginda kepadaku tatkala Baginda dalam masjid untuk disikat dan Baginda tidak akan masuk ke rumah kecuali ada keperluan ketika Baginda beri‘tikaf”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menghulurkan kepalanya sedang aku di dalam bilik ku dan menyikat rambut Baginda. Ketika itu aku dalam haid”.
(Hadis riwayat Muslim)

2. Harus bagi lelaki dan perempuan memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang indah atau berharga. Imam As-Syafi‘e berkata dalam kitab Al-Mukhtasar (Al-Majmuk: 6/515):

Maksudnya: “Tidak mengapa orang yang beri‘tikaf sama ada lelaki dan perempuan memakai pakaian (yang indah), makan dan memakai wangian”.

Walau bagaimanapun bagi perempuan tidak diharuskan berbuat demikian sekiranya di masjid tersebut ada lelaki yang kemungkinan akan tercium bau-bauan yang dipakai itu.

3. Harus bagi orang yang beri‘tikaf itu melakukan akad nikah di dalam masjid.

4. Harus membaca dan mempelajari Al-Qur’an dan sebarang ilmu pengetahuan. Menurut Imam As-Syafi‘e dan para pengikutnya bahawa perkara sedemikian itu lebih afdhal daripada melakukan sembahyang-sembahyang sunat (nafilah) kerana mempelajari ilmu itu fardhu kifayah.

5. Sekiranya yang beri‘tikaf itu berhajat kepada berjual beli, maka harus baginya berakad jual beli di masjid tanpa berlebihan seperti membawa bersama barang yang diakadkannya itu. Jika berlaku sedemikian hukumnya adalah makruh.

6. Tidak harus melakukan sesuatu pekerjaan di dalam masjid kecuali kerana hajat seperti menjahit atau menampal kain yang koyak ataupun memperbaiki sesuatu yang ditakuti rosak.

7. Harus bagi orang yang beri‘tikaf makan minum di dalam masjid dengan mengambil kira akan menjaga kebersihan masjid dan tidak mencemarkannya.

Perkara Yang Membatalkan I‘tikaf

Perkara-perkara yang membatalkan i‘tikaf itu ialah:

1. Bersetubuh sama ada keluar air mani atau sebaliknya, sekalipun ia dilakukan di luar masjid atau ketika keluar qadha hajat atau sebagainya yang mengharuskan dia keluar masjid. Kecuali bagi i‘tikaf sunat tidaklah membatalkan i‘tikaf dan ia di lakukan di luar masjid. Begitu juga tidak membatalkannya bagi orang yang lupa dan jahil mengenai haramnya bersetubuh ketika dalam i‘tikaf. (Mughni Al-Muhtaj: 1/452 dan Al-Majmuk: 6/512)

2. Keluar mani tanpa bersetubuh dengan cara berseronok-seronok hingga menaikkan syahwat dengan ikhtiarnya. Oleh itu haram bagi orang yang beri‘tikaf melakukan sesuatu yang boleh membangkitkan syahwat sehingga membawa kepada persetubuhan. Inilah juga pendapat Ar-Rafi‘e yang mengatakan bahawa pendapat al-ashah di sisi jumhur ulama ialah apabila perbuatan berseronok-seronok itu menyebabkan keluar air mani maka batallah i‘tikaf itu, jika sebaliknya maka tidaklah membatalkannya. (Al-Majmuk: 512-513 dan Mughni Al-Muhtaj: 1/452)

3. Gila dan pitam yang berpanjangan. (Al-Majmuk: 6/504-505)

4. Murtad dan mabuk. (Al-Majmuk: 6/506)

5. Keluar haid dan nifas. Jika seseorang wanita dating haid atau nifas maka batal i‘tikafnya. (Al-Majmuk: 6/507)

Penutup
Berdasarkan penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa ibadah i‘tikaf merupakan ibadah badaniyah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sepanjang hidup Baginda. Ini menandakan akan besarnya ganjaran dan pahala yang diberikan kepada orang yang melakukan.
Apatah lagi, i‘tikaf yang disertakan dengan puasa, seseorang itu akan bertambah hampir kepada Allah kerana tujuan i‘tikaf itu adalah pembersihan hati dan jiwa dengan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta menjauhkan diri daripada kegiatan atau aktiviti-aktiviti keduniaan. Oleh kerana itu untuk mencapai matlamat itu dianjurkan orang yang beri‘tikaf memperbanyak sembahyang sunat, berzikir kepada Allah, berdoa meminta ampun (istighfar), mengucapkan selawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam atau membaca Al-Qur’an di samping bacaan-bacaan lain yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.

No comments:

Popular Posts