15 January 2010

Perkembangan Mazhab Dalam Sejarah Islam

Berikut adalah sejarah lahirnya mazhab dalam Islam, dalam makalah ini berbagai permasalahan tentang mazhab akan dibincang secara ringkas, penjelasan dalam hal ini diperlukan oleh kerana adanya salah faham tentang mazhab baik bagi golongan yang bermazhab maupun golongan yang tidak bermazhab. Istilah-istilah seperti ‘ta’assub’, ‘taqlid’ dan ‘salafi’ juga dibincangkan.



1.. Mazhab Hanafi (80-150H.)

Mazhab hanafi dinisbahkan kepada pengasas mazhab tersebut yaitu Imam Nu’man bin Tsabit al-Kufi al-Hanafi. Beliau lahir di Kufah Iraq dari keturunan Parsi pada 80 H. dan meninggal 150 H. beliau memulakan kehidupannya sebagai peniaga sutera akan tetapi berpindah untuk menuntut ilmu dan berguru dengan ulama-ulama terkenal pada masa itu seperti al-Syaikh Humad bin Abi Sulaiman yang telah mewarisi ilmu dari Abdullah bin Mas’ud seorang sahabat yang terkenal dalam bidang fiqih dan Ra’yi. Selain dari itu Abu Hanifah juga berguru dengan imam Zaid bin Ali Zainal Abidin dan Ja’far al-Sadiq dll.

Imam abu hanifah banyak dikritik ulama lain karena dikatakan telah mengutamakan pendapat (ra’yu) daripada hadith, hal ini dibantah oleh sebagian ulama bahwa beliau lebih banyak menggunakan pendapatnya sendiri daripad hadith kerana pada masa itu penipuan hadith sangat berleluasa dan beliau takut terambil hadith yang palsu.

Manhaj Abu Hanifah dalam fiqih jelas, beliau akan mengembalikan segala persoalan kepada Al-Qur’an kemudian al-Sunnah lalu Aqwal al-Sahabah yaitu pendapat para sahabat Nabi. adapun apabila perkara tersebut tidak pernah dibincangkan sebelumnya maka beliau akan berijtihad, yaitu dengan mengikut metode Qiyas dan Istihsan. Ijtihad telah dibenarkan sejak zaman Nabi lagi, ketika Rasulullah S.A.W. mengutus Muaz bin Jabal ke Yaman beliau bertanya: Bagaimana cara engkau dalam berhukum?, dengan merujuk kepada Kitab Allah, Bagaimana kalau tidak ada dalam kitab Allah?, maka dengan merujuk kepada Sunnah Rasulullah, bagaimana kalau tidak ada , maka aku akan berijtihad dengan betul) dalam hadith yang lain Nabi bersabda: Apabila seorang mujtahid berijtihad dan betul ijtihadnya maka dia akan mendapat dua pahala, apabila salah dia akan mendapat satu pahala.

Diantara murid Abu hanifah yang terkenal adalah Abu Yusuf , Muhammad bin Hasan, merekalah orang yang bertanggung jawab menyebarkan Mazhab hanafi dan memperkuat kedudukan mazhab tersebut. Adapun kitab-kitab yang terkenal dalam mazhab Hanafi ialah Kitab al-Kafi oleh imam Muhammad bin Muhammad al-Marwazi dan Kitab al-Mabsut oleh imam Muhamamd bin Ahmad al-Sarkhasi. Dengan adanya dukungan ulama-ulama tersebut maka tersebar luaslah mazhab Hanafi dan ianya telah menjadi mazhab rasmi bagi Khilafah Osmaniyah di Turki.


2. Mazhab Maliki (93-179 H).

Imam Malik bin Anas al-Asbahi, berasal dari Yaman dan lahir di Madinah, dan tak pernah meninggalkan Madinah kecuali untuk Haji, beliau lebih suka duduk bersebelahan dangan Nabi, walaupun telah ditawarkan untuk mendampingi Khalifah di Baghdad. Beliau telah banyak berguru dengan para Tabi’in, diantaranya ialah Ibn al-Shihab al-Zuhri dan Rabi’ah al-Ra’yi, Yahya ibn Said , Abdul Rahman bin Hurmuz dll. Beliau belajar dan mengajar di Masjid Nabawi dan diantara murid beliau adalah Imam syafi’I, anak kahalifah Harun al-Rashid yaitu al-Amin dan al-Ma’mun, abdullah bin Wahb, Abdul Rahmanbin al-Qasim, Abul Hasan al-Qurtubi dll.

Imam Malik telah menulis sebuah Buku yang dinamakan al-Muwatta’, Buku ini mengandungi Hadith-Hadith yang Sahih dan Mursal, Fatwa sahabat dan pendapat para Tabi’in, dan juga mengandungi Ijtihad beliau sendiri dalam bentuk qiyas, tafsir , tarjih. Beliau menulis buku tersebut dalam masa empat puluh tahun, ini adalah merupakan karya terbesar Imam Malik dan merupakan buku pertama dalam ditulis seumpamanya, setelah al-Qur’an dan Hadith. Al-Muwatta ingin dijadikan kitab dan Mazhab rasmi bagi Khilafah Abbasiah masa itu tetapi Imam Malik dengan tawadu’ menolak permintaaan tersebut. Selain al-Muwatta’ kitab yang terkenal dalam mazhab Maliki adalah al-Mudawwanah yang ditulis oleh murid-murid beliau dan menjadi pegangan rasmi pemerintahan Umawiyyah di Andalus/ Spain.



3. Mazhab al-Syafi’i (150-204 H).

Imam Abu Abdullah Muahammad bin Idris al-Syafi’i, mempunyai nasab yang bertemu dengan Rasul yaitu dengan datuk beliau yang bernama Abd Manaf. Beliau lahir di Ghazzah, Palestin, dan wafat di Mesir. Menimba ilmu di Mekkah sampai berumur 15 tahun dan diberikan izin berfatwa, kemudian beliau pindah ke Madinah berguru dengan Imam Malik sampai wafat, lalu mengembara ke Yaman untuk berguru dengan Yahya bin Hassan Murid Imam al-Auza’i, beliau ditangkap pada tahun 184 H. kerana didakwa menentang pemerintahan Abbasiyah dan dibawa ke Baghdad disinilah beliau bertemu dengan Imam Muhammad al-Syaibani dari Mazhab Hanafi, beliau terus mengembara untuk belajar dan mengembangkan ilmunya sampailah akhirnya beliau mukim di Mesir pada tahun199 dan meninggal tahun 204 H.

Oleh kerana imam Syafi’i banyak mengembara dalam menuntut ilmu maka mazhabnya juga merupakan kombinasi dari beberapa madrasah / pemikiran dan kecendrungan, beliau mengambil sikap tengah antara madrasah ahlul Hadith (menolak ijtihad-qiyas) dan madrasah ahlul Ra’yi (menolak hadith ahad), beliau tidak menolak hadith Ahad yang sahih,dan menolak hadith Mursal yang bukan oleh kibar Tabi’in. dan beliau menggunakan metode qiyas dalam ijtihadnya, ini berarti beliau seorang pro ahlul Hadith dalam masa yang sama pro ahlul Ra’yi.

Beliau adalah seorang ahli hadith yang banyak menghafal hadith dan dalam kaedah fiqihnya hadith adalah sebagai sharih, muqayyid, Mufassil, dan Mukhassis kepada al-Qur’an, sumber ketiga setelah al-Qur’an dan Sunnah adalah Ijma’ dan kemudian aqwal al-Sahabah. Dan yang terakhir adalah Qiyas, dengan ini beliau menolak Istihsan dan Istislah atau amal ahli madinah.

Imam Shafi’i menulis buku tentang Usul fiqh, kitabnya al-Risalah adalah kitab pertama yang membincangkan tentang ilmu itu, dan kitab kedua adalah kitab al-Umm yang khusus membicarakan tentang mazhabnya dalam fiqih. Diantara murid beliau yang tersebar di Iraq dan Mesir adalah: al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi, al-Hasan bin Muhammad al-Za’farani, Abu Ali Husein bin Ali al-Karabisi, Isma’il bin yahya al-Muzni, abu Ya’kub al-Buwaiti dan Imam Nawawi. Mazhab beliau pernah menjadi Mazhab rasmi di Mesir dan di Negara-negara Asia.



4. Mazhab Hanbali 164-241 H.

Imam Ahmad bin Hanbal bin Hilal bin Asad al-Syaibani lahir di Baghdad dan mengembara ke Mekah madinah, Syam, Yaman, dan lain-lain untuk menuntut ilmu dan berguru, dan diantara guru beliau adalah imam Syafi’i. Beliau amat arif dalam ilmu Sunnah, dan berjaya menghasilkan sebuah Musnad yang mengandungi lebih daripada 40.000 hadith.

Dalam mazhabnya beliau berpegang pada lima Usul (Kaedah/methodology): 1. Nash dari al-Qur’an dan Sunnah. 2. Fatwa Sahabat. 3. ijtihad Sahabat yang lebih dekat kepada al-Qur’an dan Sunnah. 4. Mengambil hadith Mursal dan Dha’if dan lebih diutamakan daripad Qiyas, khususnya dalam hal yang berkaitan fadhail a’mal (sunnat). 5. Qiyas sebagai langkah terakhir.

Imam Ahmad tidak pernah menulis buku tentang mazhabnya, akan tetapi murid-murid beliau mengumpulkan pendapat-pendapatnya, maka lahirlah buku al-Jami’ oleh Ahmad bin Muhamamd al-Khilal dan buku al-Mukhtasar al-Khirqi oleh Abul Qasim Umar bin Husein al-Khirqi dan Sharah buku tersebut oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi yang dinamakan al-Mughni. Diantara pengitkut beliau ialah Imam Ibn taymiyah dan Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah.



Kesimpulan.

Demikianlah sejarah lahirnya mazhab dalam Islam, ia adalah fenomena yang normal dan sihat dalam sesuatu ajaran. Shari’ah Islam tidak bersifat Jumud ia akan berkembang mengikut perubahan zaman, pintu ijtihad sentiasa terbuka bagi para mujtahid bagi menangani permasalahan yang timbul dalam masyarakat Islam. Mazhab dalam Islam bukan sesuatu yang sakral dan harus diikuti dan dipatuhi seratus peratus, ini kerana mereka hanya berijtihad dan ijtihad ada yang betul ada yang salah yang mana kedu-duanya tetap mendapat pahala.

Lahirnya mazhab amat penting setelah wafatnya Rasul S.A.W. dan para Sahabat r.a, kerana setiap ulama mempunyai cara dan metode tersendiri dalam memahami al-Qur’an dan Sunnah, ulama-ulama yang cukup ilmunya dan berkemampuan untuk mengerti maksud al-Qur’an dan memahami hukum yang terkandung didalamnya, ulama seperti ini tidak banyak, mereka sangat terbilang. Orang awam tidak dapat memiliki ilmu seperti ini, ini terbukti apabila permasalahan agama diserahkan kepada yang bukan ahlinya (ulama) maka setiap orang akan berbeza pendapat dan cenderung untuk mengikut hawa nafsu dalam mentafsirkan ayat atau hadith.oleh sebab itu Nabi bersabda: “Dan bertanyalah kepada orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui”.

Yang menjadi permasalahan kepada ummat Islam adalah adanya sifat ta’assub dikalangan penganut mazhab, sehingga seseorang itu lebih mengutamakan qaul mazhab daripada hadith atau nash yang sahih. Ini jelas apabila mereka masih enggan meninggalkan perbuatan bid’ah dan khurafat yang telah lama diamalkan oleh masyarakat. Imam-imam mazhab sendiri sebenarnya tidak bertanggung jawab terhadap amalan-amalan tersebut, kebanyakan yang terjadi adalah ulama-ulama mazhab yang mentafsirkan dan mengembangkan mazhabnya, jadi yang sepatutnya menjadi ukuran adalah al-Qur’an dan Sunnah, qaul mazhab boleh diterima selagi tidak bercanggah dengan Hadith Sahih. Jadi kesimpulannya tidak salah bermazhab (mengikut imam tertentu) akan tetapi tidak boleh ta’assub atau taqlid a’ma (taqlid buta) pada mazhab tertentu, seseorang muslim dituntut untuk menuntut ilmu dan mendalami fiqih agar tidak taqlid dan jauh daripada bid’ah dan khurafat.

Istilah “salafi” ternyata bukan sesuatu yang baru, istilah ini timbul ketika bid’ah mula berleluasa di zaman khilafah Abbasiyah, maka sebagai reaksi dari ulama-ulama Islam timbullah istilah ulama salaf yaitu ulama yang berpegang teguh dengan ajaran nabi dan memerangi bid’ah. Bid’ah yang timbul ketika itu adalah dalam permasalahan Aqidah dan bukan ibadah, termasuk bid’ah bahwa al-Qur’an itu makhluk, maka ulama yang membantah keras pada masa itu adalah imam Ahmad bin Hanbal (imam mazhab hanbali),beliau dipenjarakan dan diseksa oleh kahalifah, maka sejak itu beliau digelar sebagai imam ahlu salaf dan imam Ahlussunnah wa al-Jama’ah. Manhaj salaf ini kemudian diperjuangkan oleh penerus beliau yaitu Imam Ibn taymiyah pada abad ke enam hijriah. Kemudian pada zaman ini lahirlah Muhammad bin Abdul Wahhab (1206H) di Jazirah Arab yang konsisten dengan perjuangan salaf dalam Aqidah dan mazhab Hanbali dalam fiqih, dengan bantuan Raja Sa’udi maka ajaran beliau tersebar luas dan mazhab Hanbali menjadi mazhab rasmi di Saudi Arabia hingga kehari ini.

No comments:

Popular Posts