Contoh yang berlaku pada hari ini ialah bersedekah kerana adat seperti memberikan sumbangan ketika kenduri nikah kahwin. Umum mengetahui bahawa perkahwinan merupakan salah satu ibadah yang besar yang boleh menyebabkan syaitan meraung kekecewaan dan mengadakan ‘walimatul urus’ atau majlis kenduri merupakan salah satu tuntutan agama dan orang yang menerima jemputan adalah menjadi kewajipan ke atasnya untuk menghadiri kenduri tersebut (kecuali uzur atau majilis dicemari maksiat). Namun kesucian ibadah nikah kahwin ini telah dicemari oleh beberapa perkara adat yang dianggap wajib dilaksanakan tanpa mengira perbuatan tersebut bersesuaian dengan tuntutan agama atau tidak contohnya seperti memberikan sumbangan (secara terpaksa) yang sememangnya masih menjadi amalan di kalangan kita. Adat memberikan sumbangan secara terpaksa ini akan menimbulkan kesan negatif sama ada dari sudut rohani atau jasmani kerana orang yang tidak berupaya sudah tentu akan merasa malu untuk menghadiri majlis kenduri tersebut atau beliau sanggup berhutang semata-mata untuk menghadiri kenduri kahwin. Bagi yang masih tidak mampu untuk mendapatkan wang maka keinginanan menghadiri majlis tersebut akan terhalang dan mereka akhirnya tidak dapat menghadirinya kerana malu tidak memberikan sumbangan. Jika sekirannya pada satu hari tersebut si miskin menerima jemputan sehingga 4 kenduri kahwin, macam mana? Setiap majlis memerlukan kepada RM10! Tidak ini membebankan?
Anjuran Islam untuk mengadakan majlis kenduri kahwin sebenarnya adalah untuk kebaikkan bersama masyarakat itu sendiri iaitu mengeratkan lagi tali silaturrahim sesama masyarakat tanpa mengira darjat atau pangkat, miskin atau kaya, cacat atau tidak dan sebagainya. Namun perbuatan ’sumbangan paksa’ tersebut walaupun di anggap tidak menyusahkan oleh tuan kenduri namun ianya belum tentu menyenangkan orang yang kurang upaya dari sudut kewangan atau miskin, perbuatan ini akan menyebabkan golongan miskin atau sederhana tidak mampu untuk bersama-sama dengan orang lain di dalam satu majlis yang dikira sebagai ibadah ini.
Tuan kenduri mungkin ingin mengadakan kenduri besar-besaran tanpa melihat kepada keupayaan diri dan tidak melihat sama ada perbuatan tersebut adalah perlu atau satu pembaziran sahaja. Mereka sanggup berhutang, bergadai semata-mata untuk mengadakan majlis kenduri kahwin secara besar-besaran dan mengharapkan agar segala hutang mereka tadi akan dapat di’timbus’ kembali dengan ’sumbangan paksa’ dari jemputan mereka. Malah kemungkinan mereka akan mendapat ‘keuntungan berganda’ lagi dari hasil sumbangan paksa orang ramai tersebut!!! Macam perniagaan pulak.
Terdapat kes seorang pemuda membuat pinjaman bank semata-mata untuk membayar mas kahwin dan mengadakan majlis perkahwinanya dan akhirnya selepas itu setiap bulan duit mereka dihabiskan hanya untuk membayar duit pinjaman bank tersebut untuk lebih 10 tahun ke depan! Tidakkah ini menyusahkan?
Golongan-golongan yang merasa terpaksa untuk memberikan ’sumbangan’ ini akan sudah tentu akan merasa malu untuk tidak memberikan sumbangan apatah lagi jika sekiranya sumbangan tersebut berbentuk tetap dan tuan rumah pula seorang yang disegani maka sudah tentu merupakan perkara yang memalukan jika sekiranya tidak melakukannya. Orang akan kata kedekut! Orang ramai mungkin berkata : “Ala, sedekah pun nak berkira ke?” - Betul ke ini dikira sedekah?
Seorang sahabat bernama Saad bin Ubbad telah bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w "Ya, Rasulullah, sesungguhnya ibu saya telah meninggal dunia. Apakah sedekah yang paling afdhal untuk dihadiahkan kepada ibuku?” Jawab Rasulullah : “Sedekah air”. Setelah Saad bin Ubbad mendengar pesanan Rasulullah s.a.w maka Saad pun berusaha menggali telaga dengan susah payah dan setelah didapati telaga yang digali itu terdapat sumber air di bawah tanah maka Saad pun mewaqafkan telaga itu untuk orang ramai minum, mandi, membasuh pakaian, tubuh badan, tempat tinggal, kenderaan dari segala kekotoran dan najis."
No comments:
Post a Comment