01 May 2009

Keunggulan Perundangan Islam

Perundangan Islam adalah suatu perundangan "Rabbani" yang tidak semestinya semua yang wujud didalamnya dapat difahami dan diketahui falsafahnya oleh manusia di suatu zaman. Mungkin di suatu masa nanti rahsia-rahsianya akan tersingkap semuanya. Mungkin di suatu masa nanti rahsia-rahsianya akan tersingkap semuanya. Kemampuan manusia untuk menyelami hakikat yang tersembunyi di sebalik perundangan itu dibatasi oleh persekitaran dan keadaan hidup manusia itu sendiri.

Perundangan Islam telah menjadi suatu realiti hukum yang telah terlaksana dalam masyarakat Islam dari permulaan lahirnya pemerintahan Rasulullah s.a.w. di Madinah hinggalah ke hari ini.
Negara Islam pertama yang ditubuhkan di Madinah dalam tahun pertama Hijrah (622M) telah melaksanakan syari'at "Rabbani" ke dalam masyarakat manusia sebagai realiti yang diterima umum.

Perlembagaan Madinah yang disifatkan oleh Professor Hamidullah sebagai "The First Written Constitution In The World", telah menjadi kenyataan umum bahawa Islamlah yang memperkenalkan kepada dunia suatu perlembagaan bertulis yang dilaksanakan dalam sebuah negara yang berdaulat. Perlembagaan tersebut telah menyebut secara terperinci masalah-masalah negara, daripada hak dan tanggungjawab kepada cara penyelesaian masyarakat majmuk, hinggalah kepada persoalan ketua pemerintah dan kuasa yang ada padanya.
Semuanya itu terkandung dalam Perlembagaan Madinah.

Undang-undang Islam sebagai suatu undang-undang negara adalah didasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, walaupun masih banyak orang-orang Islam sendiri meragui kewibawaannya malah banyak yang mempersendakan tentang kemampuannya untuk menyelesaikan masalah negara dan kesesuaiannya dengan zaman.

Sebenarnya sengaja dilupai bahawa undang-undang itu telah membuktikan kemampuannya menghadapi segala macam rintangan sejak daripada tahun pertama Hijrah hinggalah ke hari ini.
Rasulullah s.a.w. telah melaksanakan undang-undang itu dalam sepanjang hidup baginda di Madinah yang disambung pula oleh khulafa' ar-Rasyidin selepas kewafatan baginda.
Kemudian diambil alih oleh Daulah Umawiyyah, Abbasiyyah dan sebagainya hinggalah berterusan ke zaman Daulah Othmaniah.

Para sejarawan sering menyebut bahawa kejatuhan kerajaan Othmaniah Turki ke tangan Mustafa Kamal Atarturk dalam tahun 1924 M telah melenyapkan kekuasaan Islam dalam segala lapangan terutamanya dalam bidang pelaksanaan undang-undangnya.
Pandangan ini seolah-olah menggambarkan bahawa undang-undang Islam sudah lenyap ditelan zaman.

Ada beberapa istilah yang digunakan dalam Perundangan Islam seperti "syari'ah", "hukum", "hudud", "Qisas", "ta'zir", dan sebagainya. Istilah tersebut walaupun umum mengetahui maksudnya tetapi rahsia yang tersembunyi di sebalik istilah-istilah itu perlu juga diberi perhatian.

i-Syari'ah

Istilah "syari'ah" yang berakar kata daripada "shara 'a" disebut beberapa kali dalam Al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud;

Kemudian kami jadikan kamu berada di atas suatu syari'ah (peraturan dan undang-undang) dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syari'at itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahuinya. (Surah Al-Jaatsiah: ayat 18)

Firman-Nya lagi yang bermaksud;
Bagi tiap-tiap umat daripada kamu, Kami (Allah) berikan kepadanya peraturan dan undang-undang serta cara hidup yang lengkap. (Surah Al-Maa'idah: ayat 48)

Perkataan syari'ah ada banyak maknanya. Salah satu daripadanya, seperti yang tersebut dalam kamus-kamus Arab, syari'ah bermaksud telah masuk ke dalam air atau telah meminum air itu dengan kedua tangannya. Salah satu maknanya lagi disebut sebagai jalan ke arah air. Maknanya yang lain ialah tempat keluarnya mata air dan sebagainya. Kaitan perkataan syari'ah dengan makna pilihan yang disebutkan di atas, memberikan semacam tanggapan bahawa apa yang dikatakan syari'at itu diperlukan oleh manusia seluruhnya. Sama dengan manusia seluruhnya memerlukan air untuk kehidupannya.

ii-Hukum

Perkataan "hukum" selalu disebut dalam Perundangan Islam. Al-Quran banyak kali menyebut istilah ini dalam berbagai-bagai bentuk, antaranya yang bermaksud;

Bahawa sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Kitab (Al-Quran) dengan benar supaya kamu menghukum diantara manusia dengan apa yang diwahyukan oleh Allah kepadamu dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang-orang yang khianat(Surah An-Nisa': ayat 105)

Ayat lain yang bermaksud;
Dan hendaklah kamu menghukum antara mereka dengan apa yang Allah turunkan (kepadamu) dan jangan kamu mengikut hawa nafsu mereka. (Surah Al-Maa'idah: ayat 49)
Dan sesiapa yang tidak menghukum (manusia) dengan apa yang Allah turunkan (dari wahyu-Nya) maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. (Surah Al-Maa'dah: ayat 44)

iii- Hudud

Istilah "hudud" terdapat dalam Al-Quran melalui ayat-ayat Allah seperti yang bermaksud;
"Dan sesiapa yang melampaui hudud Allah maka sesungguhnya ia telah menzalimi dirinya". (Surah At-Thalaaq: ayat 1)

Demikian itulah hudud Allah maka janganlah kamu melanggarnya. Barang siapa yang melanggar hudud ini maka itulah orang-orang yang zalim. (Surah Al-Baqarah: ayat 229)

Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya serta melanggar hudud Allah nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka yang kekal ia di dalamnya dan baginya azab yang amat hina.

Perkataan "hudud" adalah perkataan ganda daripada "had". Dalam kamus Arab, "had" bererti:
- dijadikan bagi sesuatu itu sekatan
- yang memisahkan antara dua perkara
- menghabiskan sesuatu
- mencegah seseorang daripada melakukan kesalahan dan sebagainya.

Pengertian-pengertian yang tersebut di atas memberikan suatu kefahaman tentang mengapa istilah "had" itu digunakan bagi beberapa kesalahan seperti mencuri, berzina, minum arak, dan sebagainya. Penggunaan ini bertujuan menyedarkan manusia bahawa hukuman ini mampu mencegah manusia daripada melakukan jenayah itu. Hudud juga merupakan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada semua manusia, agar berubah perangai daripada tidak baik kepada baik.
Tujuan dan hikmah melaksanakan hudud dalam Islam, seperti yang terkandung dalam pengertian di atas, adalah untuk kebaikan manusia sejagat agar terselamat daripada hukuman dunia dan yang amat penting terselamat daripada seksaan di akhirat.
Tanpa melaksanakan hukum-hukum hudud ini, manusia akan berhadapan dengan seksa Allah yang amat hina.

Dr. Abd. Hamid Al-Mutawalli menulis di dalam kitabnya, "As-Syari'ah Al-Islamiyyah Kamasdar Asasi Liddudtur" (cetakan 1), pada halaman 74 dengan katanya yang bermaksud:
Bahawa sesungguhnya segala hukuman hudud itu adalah sebenarnya suatu ancaman kepada penjenayah yang tujuan asasnya untuk menghapuskan jenayah. Sekiranya dilaksanakan dengan baik nescaya tidak ada orang yang sanggup melakukan jenayah itu melainkan beberapa orang sahaja.

Abd Qadir Audah, dalam kitabnya, "At-Tasyri' Al-Jina'I Al-Islamiy Muqarina Bilqanun Al-Wadha'I" (cetakan 1, 1368H)pada halaman 652 ada menyebut yang bermaksud:
Di Hijaz sebelum perundangan Islam dilaksanakan, keadaan di negara tersebut adalah paling buruk dari segi keamanan. Orang yang berkunjung ke sana atau mendiami negara itu tidak akan merasa aman dirinya, harta bendanya dan keluarganya. Di merata pelusuk negara itu terjadi pelakuan jenayah, mencuri, merompak dan sebagainya. Apabila dilaksanakan undang-undang Islam, Hijaz berubah menjadi negara yang aman damai.

Al-Qadi Dr. Abd Aziz Amir dalam kitabnya, "At-Ta'zir fi As-Syari'ah"(cetakan ke-3, 1377H) pada halaman 425 menyebut yang bermaksud:
Perangkaan rasmi di Saudi Arabia tentang jenayah menunjukkan bahawa penthabitan perlakuan jenayah dan pelaksanaan hukumnya tidak berlaku kecuali pada hitungan kasarnya sekali atau dua kali dalam satu tahun, meskipun keadaan di negara tersebut boleh dikatakan menggalakkan jenayah yang boleh dilakukan dengan mudah.

Al-Syaikh Abu Zahrah dalam kitabnya, "Falsafah Al-`Uqubah" (bahagian pertama, cetakan 1963) pada halaman 96, ada menyebut yang bermaksud:
Sesungguhnya diriwayatkan daripada Hisyam ibn Abdul Malik, bahawa beliau telah menggantungkan hukuman hudud setahun di zaman pemerintahnya. Kerana itu kejadian jenayah tiba-tiba berlaku secara berleluasa dengan banyaknya.

Semua konteks di atas dapat membuktikan bahawa kebaikan yang terkandung dalam undang-undang Islam jika dilaksanakan amat menguntungkan manusia. Oleh sebab itu, hukuman hudud boleh menjadi sempadan dan cegahan yang akan memberikan kepada manusia keamanan dan kesejahteraan hidup.

iv-Qisas

Di dalam Al-Quran Allah s.w.t. menyebut "qisas" itu dalam ayatnya yang bermaksud:
Wahai mereka yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu qisas ke atas orang-orang yang membunuh. (Surah Al-Baqarah: ayat 178)
Dan telah kami wajibkan ke atas mereka di dalam (Taurat) bahawasanya nyawa dibalas dengan nyawa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka pun ada qisasnya. (Surah Al-Maa'idah: ayat 45)
Dan bagi kamu dalam pelaksanaan qisas ada jaminan kelangsungan hidup wahai orang-orang yang mempunyai hati, moga-moga kamu bertaqwa. (Surah Al-Maa'idah: ayat 179)

Perkataan "qisas" daripada segi bahasa antara lain bererti:
- memotong dengan gunting
- memutuskan hujungnya dengan pemotong - memisahkan sesuatu dengan sesuatu, dan sebagainya
Apabila perkataan yang bererti sedemikian daripada kamus-kamus Arab digunakan sebagai istilah undang-undang dalam perkara hukuman ke atas pesalah bagi membalasnya dengan adil dan saksama seperti yang dilakukan, memberikan kita suatu tanggapan bahawa dalam pelaksanaan hukuman qisas, perlakuan jenayah itu dapat dipotong atau dihentikan.

v-Ta'zir

Dalam Al-Quran Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan kamu membantu mereka dan memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik. Sesungguhnya Aku (Allah) akan menutupi dosa-dosa kamu dan akan Aku masukkan kamu ke dalam Syurga yang di bawahnya berlari sungai-sungai." (Surah Al-Maa'idah: ayat 12)

"Maka orang-orang yang beriman dengan-Nya memuliakannya menolongnya dan mengikuti cahaya yang diturunkan bersamanya mereka itulah orang yang beroleh kejayaan." (Surah Al-A'raaf:ayat 157)

"Supaya kamu sekelian beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, membantu menguatkan (agama-Nya), membesarkan-Nya dan bertasbih kepada-Nya diwaktu pagi dan petang." (Surah Al-Fath:ayat 9)

Perkataan "a za ra", "azzara", "ta'zeeran", dan sebagainya diertikan dalam kamus-kamus Arab yang bermaksud:
- memberi pertolongan yang kuat
- menegah dan mencegah
- memukul dengan sesuatu pukulan yang berkesan
- benteng yang kuat

Daripada ayat-ayat Al-Quran di atas tadi, dengan makna-makna yang jelas nyata serta pengertian daripada segi bahasanya, ta'zir dalam hubungan ini seolah-olah menjadikan undang-undang Islam yang termasuk di dalam hukum ta'zir akan menjadi sebaik-baik pertolongan kepada pemerintah dan masyarakat umum untuk mencegah penjenayah daripada melakukan kesalahannya setelah hukum ta'zir itu dilaksanakan.

Kesimpulannya, keseluruhan undang-undang pemerintahan dalam dunia hari ini adalah bertujuan untuk mengatur kehidupan duniawi semata-mata. Sedangkan manusia itu adalah makhluk yang akan terus hidup di alam yang lebih luas dan lebih panjang daripada alam dunia ini selepas matinya. Kehidupan manusia di alam ini hanyalah buat sementara waktu, sementara menunggu kematiannya untuk memulakan hidup baru dengan segala maslahahnya.

Undang-undang Islam tidak mengabaikan aspek duniawi seperti yang difikirkan oleh penggubal-penggubal undang-undang ciptaan. Malah lebih mementingkan harga diri insan yang sebenarnya, iaitu keimanannya kepada Allah Yang Maha Esa. Demi menjaga keimanan itu Islam menurunkan peraturan dan undang-undang untuk manusia menjaga seluruh keperluannya.

No comments:

Popular Posts