MASYARAKAT Islam di Malaysia hendaklah sentiasa mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah. Kita juga perlu menginsafi penderitaan golongan kurang bernasib baik bukan saja di negara ini, bahkan saudara seagama di seluruh dunia yang hidup melarat, ditindas dan dizalimi oleh musuh Islam.
Oleh itu, dalam menghadapi suasana Aidilfitri, jangan sekali-kali lupa dan lalai dengan kewajipan terhadap mereka yang memerlukan perhatian, bantuan serta belas ihsan kita.
Aidilfitri perlu difahami oleh Muslimin sebagai satu bentuk ganjaran daripada Allah bagi mereka yang sabar dan taat beribadah dengan penuh kesempurnaan sepanjang Ramadan al-Mubarak. Tujuannya hanya mengharapkan keredaan-Nya.
Aidilfitri adalah hari amat istimewa, disambut khusus bagi merayakan kembalinya setiap Muslim kepada keadaannya asal iaitu fitrah, yakni suci lagi bersih.
Aidilfitri yang sebenar-benarnya adalah kesinambungan kepada ketakwaan yang dituntut atas kita sepanjang mengerjakan ibadah puasa. Ia adalah perayaan bagi meraikan kemenangan setiap mukmin melawan godaan dan hawa nafsu sepanjang Ramadan.
Oleh itu, sambutan bagi merayakan Syawal perlu sejajar dan selaras dengan kehendak serta tuntutan syariat.
Kita perlu melakukan amalan sunat seperti memperbanyakkan bertakbir dan berzikir mengingati Allah. Mengerjakan solat sunat Aidilfitri dengan mengenakan pakaian baru dan indah. Menziarahi sesama umat Islam sambil bermaaf-maafan seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah saw.
Selain itu, kita wajib memelihara batas hukum syarak supaya tidak terbabas daripada landasan ditetapkan Islam ketika meraikan Aidilfitri.
Sambutan Aidilfitri tidak seharusnya dicampur-adukkan dengan niat, pertuturan atau pelakuan sia-sia dan berunsurkan maksiat. Perkara itu bukan saja bersalahan dengan konsep kembali kepada fitrah seseorang Muslim, malah dikhuatiri turut mencemarkan nilai ibadah yang diusahakan sepanjang Ramadan.
Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya; dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia." (Surah al-Mu'minun, ayat 1-3)
Mengapa hal yang sedemikian dibiarkan berlaku, sedangkan Ramadan itu sendiri adalah bulan latihan yang seharusnya mendidik jiwa kita sebagai mukmin sejati kembali suci dan murni?
Ibarat kita menganjurkan suatu majlis yang dimulakan dengan doa memohon keampunan dan restu daripada Ilahi, tetapi diakhiri dengan kemungkaran dan kemaksiatan terhadap-Nya.
Perkembangan mutakhir menyaksikan Aidilfitri di negara kita seolah-olah menjadi satu bentuk acara kebudayaan yang memaparkan suasana masyarakat Melayu dalam merayakan sambutannya. Saban tahun, kita dihidangkan dengan segala macam ikon dan imej yang telah dianggap sebagai melambangkan semangat dan identiti hari raya masyarakat Islam di Malaysia.
Dari sudut tradisinya, perayaan ini ibarat tidak sempurna atau lengkap sekiranya tidak dikaitkan dengan songkok dan sampin; baju Melayu dan kurung; ketupat dan lemang; rendang dan kuah kacang; dodol dan bahulu serta lagu dan duit raya. Ditambah pula dengan jamuan rumah terbuka sama ada yang dianjurkan oleh pihak korporat atau persendirian. Hal itu 'diserikan' lagi dengan sajian berupa hiburan yang begitu menyeronokkan di kaca televisyen dan pawagam, bagi santapan mata dan telinga mereka yang 'dahaga dan kelaparan' setelah sekian lama menahan segala keinginan.
Secara umumnya, aspek sambutan tadi tidak menjadi kesalahan selagi berada dalam lingkungan batas syarak yang ditetapkan. Apa yang dikhuatiri adalah Aidilfitri sekadar menjadi perayaan adat, bukan lagi ibadat. Jangan hingga maksiat menggantikan syariat. Jangan biarkan diri diperdaya semula oleh syaitan dan syahwat setelah sebulan berusaha memperbaiki dan meningkatkan amal ibadat.
Berhias dengan pakaian indah, asalkan menutupi aurat. Makan dan minum, selagi tidak membazir, asalkan tidak lupa untuk mensyukuri nikmat. Hulurkan sedekah, terutama kepada mereka yang lebih memerlukan, asalkan kita melakukannya dengan ikhlas dan dapat memelihara niat. Berhiburlah, selagi mana hiburan itu bermanfaat dan tidak berunsurkan maksiat. Kunjung-mengunjungi untuk mengeratkan silaturahim, asalkan tidak dijadikan alasan untuk melakukan pergaulan bebas tanpa batasan antara yang bukan muhrim.
Jika batas itu dapat dipatuhi dan segala larangannya dijauhi, insya-Allah, Aidilfitri tidak akan sekadar menjadi perayaan adat, bahkan akan membawa makna lebih besar buat keseluruhan umat.
Kita tidak ingin melihat pada suatu masa nanti, Aidilfitri hanya diikuti oleh generasi akan datang dari sudut tradisi dan budayanya, sedangkan rohnya langsung tidak difahami, jauh sekali dihayati.
Umat Islam di negara ini perlu menyedari bahawa Malaysia adalah negara masyarakat berbilang kaum. Dari aspek positif, semua perayaan kaum utama di negara ini dikenal pasti sebagai wadah yang mampu untuk menjana perpaduan antara kelompok yang berbeza latar belakang keturunan, budaya dan agamanya.
Oleh itu, setiap kali tiba musim perayaan, majlis rumah terbuka diadakan bagi mengukuhkan hubungan dan integriti antara kaum.
Suasana sedemikian memperlihatkan pengaruh antara budaya semakin diterima dan mendapat tempat di kalangan anggota masyarakat majmuk di negara ini. Dalam hal ini, Islam sememangnya menggalakkan umatnya berkenal-kenalan dengan umat lain.
Kita dituntut memperlihatkan ketinggian syiar Islam pada mata penganut agama lain sebagai usaha mendekatkan diri mereka kepada kita sebagai ummatan wa sotan. Ini seperti firman Allah bermaksud: “Dan demikianlah (seperti Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (mengenai yang benar dan yang salah)." (Surah al-Baqarah, ayat 143)
Perkara yang menjadi cabaran umat Islam di Malaysia masa kini apabila perayaan kaum ini dikomersialkan oleh pihak yang hanya mementingkan keuntungan wang ringgit semata-mata. Hal ini apabila berlaku, Aidilfitri dibimbangi akan disamatarafkan dengan perayaan lain. Pada hal, ia mempunyai falsafah dan maksudnya tersendiri pada sisi syarak dan tidak boleh dicampur-adukkan dengan nilai lain.
Apabila nilai komersial menjadi pertimbangan utama mengatasi yang lain, maka akan terhakis dan terhapus segala nilai ibadah yang dibawa oleh Aidilfitri kepada umat Islam. Akhirnya, ia terpaksa 'bersaing' dengan perayaan lain melalui iklan dan promosi, hanya untuk membuktikan kekomersialannya dengan mengetepikan segala prinsip syariat yang perlu dipelihara demi kesucian agama Allah.
Lebih malang apabila sambutan Aidilfitri digandingkan dengan perayaan lain, baik berlatar belakangkan budaya mahupun agama. Maka, timbul ungkapan baru seperti 'Kongsi Raya', 'Deepa Raya' dan seumpamanya. Sedangkan akidah dan akhlak Islamiah adalah perkara yang menjadi asas keyakinan dan amalan seluruh umat yang perlu dipertahankan dan tidak boleh sekali-kali dikompromi. Hal ini firman-Nya bermaksud: "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku." (Surah al-Kaafiruun, ayat 4-6)
Islam adalah agama yang dibawa oleh Allah swt dengan sebuah agama yang murni, harmoni, syumul dan luhur. Ia digambarkan dengan keperibadian Rasulullah saw yang memiliki akhlak yang mulia, bersifat sederhana dan suka melakukan kebaikan sesama makhluk. Ciri-ciri Rasulullah ini telah memberi keamanan dan rahmat seluruh alam. Sebagaimana firman Allah swt: "Tidaklah AKU utuskan engkau wahai MUHAMMAD melainkan menjadi rahmat seluruh alam" (al-Anbia': 107)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
Apakah hukum bagi seorang muslimah yang melambatkan solat fardhu dan apabila hendak mengerjakannya didapati haidhnya tiba? Bagaimanakah kead...
-
Menurut mazhab Syafi'i dan Hanbali, bulu kucing yang tertanggal dari tubuh badannya adalah najis. Bukan setakat kucing, tetapi bulu bina...
-
Berikut adalah sejarah lahirnya mazhab dalam Islam, dalam makalah ini berbagai permasalahan tentang mazhab akan dibincang secara ringkas, pe...
-
I‘tikaf ialah suatu ibadah yang mempunyai kelebihan dan hikmat tertentu. Di antaranya membersihkan hati daripada sifat-sifat yang tercela, m...
-
1.0 Muqaddimah Siasah Syari'yyah yang kita perkatakan bukanlah percakapan semata-mata bahkan ia adalah gabungan dari mafhum-mafhum sya...
-
Orang Islam telah memberi sumbangan yang begitu besar terhadap peradaban dan tamadun manusia. Sumbangan yang paling besar ialah dan aspek ag...
-
Pengertian aurat menurut bahasa adalah keaiban.Manakala menurut pandangan atau pengertian syarak ialah "Bahagian-bahagian tertentu yan...
-
Syariah Islam menetapkan bagi setiap sesuatu amalan manusia tidak terlepas daripada hukum yang ditetapkan oleh Allah. Hukum yang ditetapkan ...
-
Ada empat istilah asas Fiqh yg membingungkan: Ijtihad, Ittiba', Talfiq dan Taqlid. Kita jelaskan secara mudah: a. Ijtihad: mencurahkan...
-
Syarat-syarat haji menurut Mazhab Hanafi 1. Islam, haji tidak wajib bagi orang kafir, hajinya tidak sah. 2. Akal, tidak wajib bagi orang g...
No comments:
Post a Comment