INGAT pesan emak, “Jika kamu mahu buat sesuatu (perkara yang tidak elok), manusia tidak nampak, akan tetapi Allah nampak. Hari ini orang tidak tahu apa yang kita buat, lama kelamaan orang akan tahu juga”.
Mungkin itulah azimat berharga nasihat seorang ibu kepada anaknya bagi menempuh cabaran onak berliku dalam dunia tanpa sempadan yang semakin mengecil ini. Antara perkara dapat disingkap di sebalik kata-kata itu ialah pendedahan awal anak mengenai hakikat kehidupan manusia tidak dapat lari daripada hubungannya dengan Allah.
Allah mengetahui tiap sesuatu yang berlaku dalam perjalanan hidup makhluknya kerana Dialah yang mengatur setiap sendi perjalanan alam ini termasuk manusia. Dialah ‘pengawas’ yang sentiasa memerhatikan pergerakan hamba-Nya.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami mengenai siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap sesuatu.”(Surah Saba’, ayat 21)
Tanggungjawab memberi pendidikan akidah dan pengetahuan agama wajib ‘terbeban’ ke atas bahu ibu bapa. Memberi didikan agama dan ilmu pengetahuan menjadi asas kepada kehidupan keluarga Muslim.
Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)
Imam Qatadah menyatakan ayat itu adalah perintah Allah yang menyuruh golongan bapa mengajak anak, isteri dan seluruh ahli keluarganya supaya melakukan ketaatan kepada Allah serta mencegah mereka melakukan perkara maksiat dan mungkar.
Ibn Umar berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka, manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.” (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Baginda lagi yang bermaksud: “Sesiapa daripada kalangan hamba Allah yang dikurniakan dengan orang bawahan, tetapi tidak menasihati mereka, nescaya ia tidak akan mencium bau syurga.” (Hadis riwayat Muslim)
Ibn Umar berkata: “Ajarkanlah adab kepada anak-anak kamu, maka sesungguhnya kamu akan ditanya mengenainya; Apakah yang sudah kamu ajar (mengenai adab) kepada anak kamu? Apa yang sudah diajar (ilmu pengetahuan) kepada mereka? Dan Allah akan bertanya mengenai kebaikan yang dilakukan oleh kamu. Dan Ia akan bertanyakan perkara ketaatan yang kamu lakukan.”
Diriwayatkan ketika pemerintahan Khalifah Saidina Umar al-Khattab, beliau didatangi seorang tua yang mengadu bahawa beliau dikurniakan anak derhaka dan degil. Anak itu disuruh berjumpa Saidina Umar. Anak muda itu ditanya kenapa dia menderhaka kepada bapanya? “Adakah kamu tidak takut kepada Allah?” Anak muda yang ‘bergelora’ jiwa mudanya pun menjawab, “Dalam soal ini adakah aku saja yang bersalah, sedangkan bapaku tidak bersalah.”
Lantas Saidina Umar bertanya kepada anak muda itu, “Apa maksud kamu?” Pemuda itu berkata lagi, “Apakah tanggungjawab bapaku terhadap diriku?” Saidina Umar seraya berkata: “Antara tanggungjawab bapa ialah; wajib memilih isteri yang sesuai untuk jadi bakal ibu kepada anak; memberi nama yang baik kepada anak yang dilahirkan daripada benihnya; wajib mendidik anak-anak dengan didikan al-Quran dan adab sopan Islam.”
Anak muda itu berkata, “Ibu saya seorang ‘pelayan’; aku diberi nama dengan nama “thawwath” (kelawar); aku tidak pernah diasuh dengan didikan Islam”. Saidina Umar pun berkata kepada orang tua berkenaan, “Kamulah lebih derhaka terhadap anak kamu.”
Ibu bapa hari ini menyedari bahawa anak mereka bagaikan pepohon yang sering dihinggapi penyakit sosial daripada ‘gigitan serangga’ yang berkeliaran dengan banyaknya pada zaman kini.
Ini menyebabkan unsur positif dalam pendidikan di rumah menjadi luntur dan akhirnya terhakis sama sekali. Ibu bapa seharusnya menjalankan tanggungjawab mereka dengan cara yang terbaik dan mempunyai ilmu pengetahuan secukupnya terutama daripada sudut kejiwaan dan kepekaan semasa. Anak yang dibesarkan menjadi agresif dan kasar, jika pendidikan ibu bapa berasaskan kekasaran dan agresif. Ia akan menjadi musuh ibu bapa jika pendekatan mendidik berasaskan permusuhan dan konfrontasi. Ini ujian yang mencabar tahap kemahiran keibubapaan zaman kini.
Islam adalah agama yang dibawa oleh Allah swt dengan sebuah agama yang murni, harmoni, syumul dan luhur. Ia digambarkan dengan keperibadian Rasulullah saw yang memiliki akhlak yang mulia, bersifat sederhana dan suka melakukan kebaikan sesama makhluk. Ciri-ciri Rasulullah ini telah memberi keamanan dan rahmat seluruh alam. Sebagaimana firman Allah swt: "Tidaklah AKU utuskan engkau wahai MUHAMMAD melainkan menjadi rahmat seluruh alam" (al-Anbia': 107)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
Apakah hukum bagi seorang muslimah yang melambatkan solat fardhu dan apabila hendak mengerjakannya didapati haidhnya tiba? Bagaimanakah kead...
-
Menurut mazhab Syafi'i dan Hanbali, bulu kucing yang tertanggal dari tubuh badannya adalah najis. Bukan setakat kucing, tetapi bulu bina...
-
Berikut adalah sejarah lahirnya mazhab dalam Islam, dalam makalah ini berbagai permasalahan tentang mazhab akan dibincang secara ringkas, pe...
-
I‘tikaf ialah suatu ibadah yang mempunyai kelebihan dan hikmat tertentu. Di antaranya membersihkan hati daripada sifat-sifat yang tercela, m...
-
1.0 Muqaddimah Siasah Syari'yyah yang kita perkatakan bukanlah percakapan semata-mata bahkan ia adalah gabungan dari mafhum-mafhum sya...
-
Orang Islam telah memberi sumbangan yang begitu besar terhadap peradaban dan tamadun manusia. Sumbangan yang paling besar ialah dan aspek ag...
-
Pengertian aurat menurut bahasa adalah keaiban.Manakala menurut pandangan atau pengertian syarak ialah "Bahagian-bahagian tertentu yan...
-
Syariah Islam menetapkan bagi setiap sesuatu amalan manusia tidak terlepas daripada hukum yang ditetapkan oleh Allah. Hukum yang ditetapkan ...
-
Ada empat istilah asas Fiqh yg membingungkan: Ijtihad, Ittiba', Talfiq dan Taqlid. Kita jelaskan secara mudah: a. Ijtihad: mencurahkan...
-
Syarat-syarat haji menurut Mazhab Hanafi 1. Islam, haji tidak wajib bagi orang kafir, hajinya tidak sah. 2. Akal, tidak wajib bagi orang g...
No comments:
Post a Comment