20 November 2009

Rahsia Solat Berjemaah

Islam adalah agama fitrah yang cukup sempurna mencakupi segenap aspek kehidupan.Setiap perkara yang telah disyariatkan didalam agama ini mempunyai hikmah yang cukup besar disebaliknya baik di dalam bentuk maknawi mahupun di dalam bentuk ilmi kerana ia hadir daripada pencipta sekelian alam yang maha suci daripada segala bentuk kekurangan.Sesungguhnya kitab al-Quran yang diturunkan sebagai panduan adalah petunjuk yang paling sempurna bagi manusia melayari kehidupan sebagai khalifah-NYA di muka bumi ini.

" Kitab Al-Quran itu tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa", maksud ayat 2:Al-Baqarah.

Antara ibadah yang disyariatkan Allah swt ialah solat berjemaah.Tentu sekali di sana terdapat fadhilat -fadhilat yang besar berdasarkan hadis Rasullullah s.a.w. "Solat berjemaah itu adalah lebih afdhal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali darjat…"
malahan ada sebahagian ulama yang mensyaratkan atau mewajibkan berjemaah dalam menunaikan solat fardhu berdasarkan beberapa nas sorih yang lain.Selain ganjaran serta fadhilat yang berbentuk maknawi ini, terfikirkah kita bahawa terdapat hikmah lain dalam bentuk fizikal yang memberi sumbangan yang cukup besar untuk kesihatan tubuh manusia dalam menjalani kehidupan sehari-hari ?
Seorang profesor dalam bidang fizik di sebuah universiti di Amerika Syarikat, telah membuat satu kajian tentang mengapa disyariatkan solat berjamaah di dalam Islam dan kelebihan solat
berjamaah tersebut dalam kehidupan umat Islam. Menurut profesor itu, tubuh badan kita (manusia) terdiri daripada dua cas elektrik iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam perjalanan hidup manusia setiap hari, semasa kita bekerja, beriadhah atau berehat, kita banyak menggunakan tenaga dan dalam proses ini banyak berlaku pertukaran cas-cas positif
dan negatif yang menyebabkan ketidakseimbangan cas-cas tersebut berlaku di dalam
tubuh badan kita. Ini menyebabkan kita merasa letih dan lesu apabila kita selesai menjalankan aktiviti-aktiviti harian kita. Cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk memulihkan tubuh badan kita ke keadaan normal supaya kita kembali segar dan dapat menjalankan
aktiviti-aktiviti lain tanpa gangguan.Inilah proses yang berlaku dari sudut fizik di dalam tubuh kita kerana fizik adalah bidang kajian khusus yang berkaitan dengan pergerakan dan keseimbangan alam serta proses-proses berkaitan yang berlaku disekelilingnya.

Berbalik kepada kaitan solat berjamaah, timbul satu persoalan di minda profesor ini mengapa dalam Islam, disyariatkan, malah sehingga ke peringkat diwajibkan bersolat secara berjemaah menurut sebahagian ulama, dan mengapa solat lima waktu yang didirikan oleh orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama ( Zohor - 4 rakaat, Asar - 4 rakaat, Maghrib - 3 rakaat, Isya' - 4 rakaat, Subuh - 2 rakaat). Dari kacamata beliau, sebagai seorang
bukan Islam yang mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang berkaitan, beliau lalu menjalankan kajian tentang perkara ini dan mengaitkannya dengan aktivit-aktiviti harian kita yang memerlukan pemulihan cas-cas positif/negatif tadi.

Pertama sekali beliau mengkaji kaitan jumlah rakaat dengan solat berjamaah dan fungsinya dalam penyeimbangan cas-cas di dalam badan kita. Semasa kita melakukan solat berjamaah, kita disyariatkan supaya meluruskan dan merapatkan barisan (saf), bahu bertemu bahu dan tumit bertemu tumit. Dalam pergeseran tubuh kita dengan tubuh jamaah lain yang berada di kiri dan kanan kita, tubuh kita mengeluarkan cas-cas yang berlebihan dan cas-cas ini akan ditarik oleh cas yang berlawanan dalam tubuh badan rakan kita.Begitu juga yang berlaku sebaliknya,jika tubuh kita mengalami kekurangan cas, ia akan menarik cas-cas berlawanan yang berlebihan daripada tubuh rakan di sebelah kiri dan kanan kita. Jamaah lain juga akan mengeluarkan cas-cas dari tubuh badan mereka dan cas-cas ini akan ditarik oleh cas-cas yang berlawanan dari tubuh badan kita. Dengan ini berlakulah keseimbangan di antara cas-cas positif dan negatif. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang dan semakin segar tubuh badan kita.

Menurut beliau, dalam kehidupan seharian kita, apabila kita bangun dari tidur, badan kita merasa segar dan sihat setelah berehat selama beberapa jam (tidur). Dalam keadaan ini, tubuh badan kita mengandungi cas-cas positif/negatif yang hampir seimbang. Jadi, apabila kita mendirikan solat Subuh berjamaah, kita hanya memerlukan sedikit pertukaran cas-cas
dari dan ke dalam tubuh badan kita. Sebab itu mengapa solat subuh itu hanya dua rakaat.

Seterusnya, setelah seharian kita bekerja bertungkus lumus, membanting tulang atau memerah otak, cas-cas ini tidak lagi seimbang dengan kehilangan banyak tenaga dari badan kita. Oleh itu kita memerlukan pertukaran cas-cas yang banyak dan solat berjamaah memainkan peranan
untuk memulihkan keseimbangan cas-cas ini. Oleh sebab itu solat Zohor (berjamaah) didirikan empat rakaat untuk memberi lebih masa kepada pemulihan cas-cas tadi.

Proses yang sama berlaku pada sebelah petang, apabila kita juga mengeluarkan banyak tenaga menyambung tugas-tugas kita dan kita kehilangan banyak daripada cas-cas ini. Sekali lagi proses penyeimbangan ini berlaku apabila kita mengerjakan solat Asar (berjamaah) sebanyak empat rakaat.

Selepas waktu Asar, setelah pulang dari kerja atau pada kebiasaannya, kita hanya melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak terlalu banyak menggunakan tenaga dan masa yang diperuntukkan pula tidak terlalu lama.Oleh itu tidak terlalu banyak tenaga yang kita keluarkan. Seterusnya
kita akan pergi ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib (berjamaah),sebanyak tiga rakaat. Pengurangan dalam rakaat ini berlaku kerana kita tidak kehilangan terlalu banyak tenaga dan penyeimbangan cas-cas ini berlaku dalam jangka masa yang agak kurang dari sebelumnya (Zohor dan Asar).

Seterusnya timbul persoalan di fikiran beliau tentang mengapa solat Isyak mengandungi empat rakaat. Secara logiknya, kita tidak melakukan banyak aktiviti pada waktu malam dan tidak memerlukan pengumpulan cas-cas yang banyak untuk tidur. Setelah kajian beliau lakukan, terdapat hikmah di sebalik jumlah rakaat ini. Seperti yang sedia kita maklum, kita umat
Islam sangat-sangat digalakkan supaya tidur pada awal waktu malam dan bangun semula di sepertiga malam untuk menunaikan solat-solat sunat, terutamanya solat sunat Tahajjud. Malahan, amalan solat ini menjadi kewajiban bagi Nabi s.a.w. dan para sahabat-sahabat baginda serta para alim ulama. Terlalu besar ganjaran dan kelebihan solat Tahajjud ini,
(tidak perlu diterangkan secara spesifik dari sudut ubudiah di sini).Diantaranya kita dapat menikmati udara yang cukup segar dan bersih waktu dinihari ini,untuk pernafasan dan proses respirasi tubuh kerana waktu begini adalah fatrah pertukaran di antara proses respirasi dan fotosintesis tumbuh-tumbuhan di mana tumbuh-tumbuhan mengeluarkan oksigen yang bersih.

Jadi, dari fakta ini, dapat beliau simpulkan bahawa, solat Isya (berjamaah) sebanyak empat rakaat dapat menyediakan penyeimbangan cas-cas dan pengumpulan tenaga yang secukupnya untuk kita bangun pada waktu sepertiga malam untuk menunaikan solat Tahajjud dan berqiam menghambakan diri kepada kepada Allah di waktu yang serba dingin dan sunyi.

Dalam proses membuat kajian ini, beliau mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan segala amalan dan suruhan Allah Taala mempunyai hikmah yang tersirat dan tersurat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Beliau merasakan betapa besarnya pencipta segala yang ada di muka bumi ini dan betapa kerdilnya beliau. Pada waktu inilah, beliau
telah diberi hidayah oleh Allah Taala untuk memeluk agama Islam. Subahanallah.


"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih
bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi
orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau
duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan
tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Tuhan
kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha
Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka",
maksud ayat 190-191 : Ali-Imran.


Begitulah keagungan dan keajaiban ciptaan hukum ALLAH swt. yang menjadikan alam ini.
Tiada yang tersembunyi bagi-Nya sesuatupun baik yang berada di langit mahupun di bumi walau sebesar zarah.Sewajarnya ,adalah terlebih aula bagi kita sebagai umat Islam khususnya para pengkaji agama Allah mendalami dan menghayati setiap perkara yang telah disyariatkan Islam itu sendiri dari setiap sudut guna mencapai keyakinan yang haqiqi dan menolak keraguan yang cuba dilontarkan oleh golongan musuh Islam yang sememangnya tidak mahu Islam bangkit di akhir zaman. WALLAHUA'LAM.



Disediakan oleh : Ibn.ibn.Sina

Sumber rujukan : Internet….




----------
Seorang doktor di AMERIKA SYARIKAT telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban yang di temuinya di dalam penyelidikannya. Ia amat kagum dengan penemuan tersebut sehingga tidak dapat diterima oleh akal fikiran.

Dia adalah seorang doktor neurologi. Setelah memeluk Islam dia amat yakin perubatan secara Islam dan dengan itu telah membuka sebuah klinik yang bertemakan "PERUBATAN MELALUI AL-QURAN". Kajian perubatan melalui Al-Quran membuatkan ubat-ubatannya yang digunakan adalah berteraskan seperti yang terdapat di dalam Al-Quran. Di antara kaedah-kaedah yang digunakan termasuklahberpuasa, madu lebah, biji hitam (black seed) dan sebagainya.

Apabila ditanya bagaimana dia tertarik untuk memeluk Islam maka doktor tersebut memberitahu bahawa semasa kajian saraf yang dilakukan, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia ini tidak dimasuki oleh darah.

Padahal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara yang lebih normal.

Setelah membuat kajian yang memakan masa akkhirnya dia menemui bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak tersebut melainkan ketika seseorang tersebut bersembahyang ketika sujud. Urat tersebut memerlukan darah untuk beberapa sukatan yang tertentu sahaja. Ini bermaksud darah akan memasuki bahagian urat tersebut mengikut kadar sembahyang waktu yang di wajibkan oleh Islam. Begitulah keagungan ciptaan Allah.

Jadi barang siapa yang tidak menunaikan sembahyang maka otak tidak dapat menerima darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal. Oleh itu kejadian manusia ini sebenarnya adalah untuk menganuti agama Islam "sepenuhnya" kerana sifat fitrah kejadiannya memang telah dikaitkan oleh Allah dengan agamanya yang indah ini.


Kesimpulannya :

Makhluk Allah yang bergelar manusia yang tidak bersembahyang apatah lagi bukan yang beragama Islam walaupun akal mereka berfungsi secara normal tetapi sebenarnya di dalam sesuatu keadaan mereka akan hilang pertimbangan di dalam membuat keputusan secara normal.

Justeru itu tidak hairanlah manusia ini kadang-kadang tidak segan-silu untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah kejadiannya walaupun akal mereka mengetahui perkara yang akan dilakukan tersebut adalah bersalahan dengan kehendak mereka kerana otak tidak boleh untuk mempertimbangkan secara lebih normal.

Maka tidak hairanlah timbul bermacam-macam gejala-gejala sosial masyarakat masakini. Sama-sama kita ambil pengiktibaran. Ambillah Islam secara total bukan secara dikit-dikit.


--------------------------------------------------------------------------------
Namun apakah umat Islam sendiri berjaya menggali khazanah ilmu yang tersimpan didalam kitab suci ini atau masih berbalah tentang perkara remeh-temeh yang membawa kepada perpecahan ummat..? Adalah suatu yang amat merugikan apabila umat Islam hari ini di labelkan sebagai lemah dan mundur serta ketinggalan dalam perkembangan zaman yang terlalu pantas
sedangkan suatu masa dahulu merekalah ummat yang memerintah sepertiga dunia ini dengan membina hadarah yang begitu tinggi hasil daripada aqidah yang mantap serta penghayatan terhadap al-quran dan as-sunnah.

No comments:

Popular Posts