Zakat Fitrah ialah zakat yang diwajibkan ketika pengakhiran bulan Ramadhan.Ia merupakan sejumlah harta yang tertentu dikeluarkan oleh setiap orang Islam dan diberikan kepad aorang-orang yang berhajat,sebagai pembersihan diri juga untuk membaiki kecacatan-kecacatan yang berlaku pada puasa sepanjang bulan Ramadhan yang disebabkan oleh percakapan sia-sia,jelek dan sebagainya.
Berkata Ibnu Abbas r.a :
فرض رسول الله عليه وسلم زكاة الفطر طهرة للصائم من اللغو والرفث وطعمة للمساكين
Seorang ulama’,Waki’ bin al-Jarrah menyatakan :” kedudukan zakat fitrah dinisbahkan kepada bulan Ramadhan seumpama kedudukan sujud sahwi dinisbahkan kepada solat dimana ia membaiki kekurangan puasa sepertimana sujud sahwi membaiki kekurangan solat”.
Zakat fitarah ini mula-mula difardhukan pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah iaitu tahun yang sama difardhukan puasa Ramadhan dan Zakat Harta mengikut pendapat yang paling kuat.
DALIL KEWAJIPAN ZAKAT FITRAH
عن ابن عمر قال فرض رسول الله صلى الله عليه وسلم زكاة الفطر من رمضان على الناس صاعا من تمر أو صاعا من شعير على كل حر أو عبد ذكر أو أنثى صغير أو كبير من المسلم .
رواه البخارى و مسلم
وفى البخارى ..........وكان يعطون قبل الفجر
Berkata jumhur Ulama’ salaf dan Khalaf bahawa maksud “ فرض “ dalam hadis pertama tadi ialah “ ألزم او أوجب “ . Maka zakat fitrah yang wajib di sisi Ulama’ Salaf dan Khalaf dimana ia termasuk dalam pengertian umum bagi firman Allah : وأتو الزكاة .
Menurut Ibnu Munzir,kewajipan zakat fitrah adalah pendapat ijma’.Walaupun terdapat di sana Ulama’ yang menyatakan bahawa zakat fitrah adalah sunat muaakkad tetapi pendapat ini dikatakan oleh Imam Nawawi sebagai pendapat yang syaz atau mungkar.
KE ATAS SIAPA DIWAJIBKAN ZAKAT FITRAH
Daripada hadis yang disebutkan tadi jelas kepada kita bahawa zakat fitrah wajib bagi setiap individu muslim samada merdeka taua hamba,lelaki atau wanita,besar atau kecil,miskin atau kaya,orang bandar atau pedalaman (kampung). Pendapat ini merupakan pendapat jumhur Ulama’.
Sabda Nabi saw :
أدوا صاعا من قمح أو بر عن كل اثنين صغير أو كبير ذكر او أنثى حر او مملوك غني أو فقير أما غنيكم فيزكيه الله وأما فقير فيرد الله عليه أكثر مما يعطي .........أخرجه احمد و البيهقي
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa wajib ke atas orang faqir sepertimana ia wajib ke atas orang kaya.Miskin atau kaya tidak menjadi syarat dalam kewajipan mengeluarkan zakat fitrah.Ini adalah pendapat jumhur.Adapun Imam Abu Hanifah ia mensyaratkan nisab .Jadi orang faqir yang tidak memiliki nisab tidak diwajibkan zakat fitrah ke atasnya.
Zakat fitrah yang wajib dikeluarkan meliputi untuk dirinya sendiri dan juga orang-orang yang berada di bawha tanggungan nafkahnya seperti anak atau khadam nya melainkan sekiranya orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya itu adalah kafir .
Adapun Az-Zuhri,Rabi’ah dan Al-Laith menyatakan bahawa zakat fitrah dikhususkan kewajipannya kepada orang bandar sahaja dan tidak diwajibkan ke atas orang pedalaman (البادية). Pendapat ini ditolak keran ia bertentangan dengan hadis tadi.Pendapat yang benar ialah pendapat jumhur.
ZAKAT FITRAH BAGI ISTERI DAN BUDAK KECIL
Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa zakat fitrah wajib ke atas perempuan samada ia telah bersuami atau tidak.Perempuan yang telah bersuami diwajibkan zakat fitrah ke atas dirinya sendiri dan dikeluarkan daripadanya hartanya sendiri bukan harta suaminya.
Imam syafie,Imam Malik berpendapat bahawa suami wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk isterinya kerana termausk di dalam tanggungan nafkah suami.
Adapun zakat fitrah budak kecil,jumhur Ulamak berpendapat bahawa ia wajib ke atas budak kecil itu sendiri bagi hartanya sekiranya ia mempunyai harta dan walinya lah yang dipertanggungjawabkan untuk mengluarkan zakat daripada harta budak yang berada di bawah tanggungannya bagi pihak budak tersebut.Tetapi sekiranya budak kecil itu tidak mempunyai harta maka zakat fitrahnya tertanggung ke atas wali yang menanggung nafkahnya . Muhammad bin Al-Hasan berpendapat:”Zakat fitarah adalah wajib ke atas bapa semata-mata.Sekiranya budak kecil itu tidak mempunyai bapa maka zakat fotrah tidak diwajibkan ke atasnya secara mutalak”.
Dinaqalkan daripada Said bin Musaayib dan Hasan Al-albasri menyatakan bahawa zakat fitrah tidak diwajibkan kecuali ke atas orang yang berpuasa sahaja.Ini kerana zakat fotrah diwajibkan kerana bermatlamatkan penyucian dosa.Budak kecil tidak memerlukan kepada penyucian doasa kerana ia tidak mempunyai dosa.Jadi zakat fitrah tidak diwajibkan ke atas budak kecil.
ZAKAT FITRAH BAGI JANIN
Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa zakat fitrah tidak diwajibkan ke atas janin.Imam syaukani menyebutkan di dalam kitab Nailul Authar ( juzuk 4/81): “ Ibnu Munzir telah menaqalkan bahawa telah menjadi ijtimak bahawa zakat fitrah tidak diwajibkan ke atas janin.Adapun Imam Ahmad menggalakannya dan tidak mewajibkannya”.
Ibnu Hazim berpendapat: “Apabila telah sempurna janin di dalam perut ibunya selama 120 hari sebelum terbit fajar pada malam hari raya wajib dikeluarkan zakat fitrah bagi janin tersebut kerana telah sabut di dalam satu hadis bahawa janin tersebut telah ditiupkan ruh ke dalamnya apabila usianya genap 120 hari”.Ibnu Hazim telah mengkmukakan beberapa hadis dan amalan sahabat untuk menguatkan pendapatnya ini yang menyalahi jumhur atau ijmak Ulamak.Namun demikian Dr.Yusuf Al-Qardhawi menyatakan bahawa dalil-dalil yang disebut olehibnu Hazim tidak langsung menunjukkan kepada kewajipan zakat fitrah bagi janin di dalam kandungan.
SYARAT-SYARAT WAJIB ZAKAT FITRAH
1. Islam- Orang kafir asli tidak wajib membayar zakat fitrah melainkan ke atas hamba dan qaribnya yang muslim.Adapun orang Islam yang murtad,maka zakat fitrahnya dan juga orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya ditangguh sehingga ia kembali kepada Islam
2. Ada/Wujud ketika terbenam matahari hari penghabisan bulan Ramadhan (iaitu sempat bertemu dengan juzuk terakhir daripada Ramadhan dan juzuk terawal daripada syawal ).Tidak wajib zakat fitrah atas anak yang lahir sesudah terbenam matahari.Orang yang berkahwin sesudah terbenam matahari tidak wajib baginya untuk membayar zakat fitrah bagi isteri yang baru dikahwininya itu. Orang yang mati selepas terbenam matahari maka wajib dikeluarkan zakat fitrah baginya.Adapu orang yang mati sebelumnya tidak wajib .
3. Ia mempunyai kelebihan harta daripada keperluan makanan untuk dirinya sendiri dan orang –orang yang berada dibawah tanggungan nafkahnya (samada manusia atau binatang) pada malam hari raya dan siang harinya . Orang yang tidak mempunyai kelebihan tidak wajib membayar zakat fitrah.
لما بعث النبى صلى الله عليه وسلم معاذا الى اليمن قال : فاعلمهم ان الله افترض عليهم صدقة تؤخذ من اغنيائهم فتردى على فقرائئهم........... رواه الجماعة
Sabda Rasulullah s.a.w
من سأل وعنده ما يغنيه فانما يستكثر من النار,قالوا يا رسول الله وما يغنسه ؟قال : ما يغذيه ويعشيه....
رواه ابو داود وابن حبان
Harta yang terhitung disini ialah harta yang tidak perlu baginya dalam kehidupan seharian.Adapun rumah (tempat tinggal ),perkakas rumah ,pakain,kitab dan sebagainya tidak ternasuk dalam perhitungan .Jadi barang-barang tersebut tidak perlu dijual untuk membayar zakat fitrah dan sekiranya ia tidak mempunyai kelebihan harta yang lain,tidak membayar zakat fitrah.
Tidak disyaratkan Nisab pada zakat fitrah .Ini adalah menurut pendapat jumhur termasuk Syafei ,Ahmad dan Malik .Imam Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya menyatakan : “Tidak diwajibkan zakat fitrah kecuali ke atas orang yang mempunyai nisab”. Mengikut Imam Syaukani pendapat yang benar ialah pendapat jumhur kerana nas-nas yang menyatakan tentang kewaaaajipan zakat fitrah adalah umum dan tidak mengkhususkannya kepada orang kaya atau faqir. Pendapat ini juga ditarjihkan oleh Dr. Yusof Al Qardhawi.
Orang yang mempunyai cukup syarat-syarat di atas wajib membayar zakat fitrah untuk dirinya sendiri dan untuk orang wajib dinafkahinya seperti zakat anaknya yang masih kecil,zakat isterinya ,zakat ibu bapanya yang sememangnya menjadi tanggungnnya dan lain-lain yang wajib atasnya menanggung nafkah mereka.
KADAR YANG WAJIB DIKELUARKAN
Kadar yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak satu sa’ (صاع: gantang ) sepertimana yang dinyatakan di dalam hadis :
عن ابي سعيد قال كنا نخرج زكاةالفطر صاعا من طعام أو صاعا من شعير أو صاعا من تمر أو صاعا من اقط أو صاعا من زبيب............أخرجه البخاري و مسليم Imam Abu Hanifah menyatakan adalah memadai dikeluarkan zakat fitrah bagi gandum (القمح) dengan kadar setengah sa’ ( صاع) sahaja.
UKURAN SA’
-Satu Sa’ (صاع) = 4 Mud (مد)
-Satu mud =-Disisi Ulamak Hanafi : 2 Ritl (رطل)
-Disisi Jumhur Mazhab :1 1/3 Ritl (رطل)
( Jadi satu sa’ disisi Hanafi bersamaan dengan lapan (8) Ritl dan disisi Syafie,Maliki dan Hanbali bersamaan 5 1/3 Ritl ).
-Satu Ritl = Disisi Hanafi : 130 Dirham.
=Disisi Maliki : 128 Dirham
=Disisi Syafie : 128 4/7 (128.571) Dirham.
-Berat Dirham penimbang ( satu Dirham ) = 3.17 Gram
Jadi satu Mud :
-Disisi Hanafi : 2x130 = 260 Dirham x 3.17 = 824.20 Gram
-Disisi Syafie : 1 1/3 x 128.571 = 171.428 Dirham x 3.117 = 543.428 Gram
jadi :
-Satu Sa’ disisi Hanafi =824.20 x 4 = 3.926.80 Gram
-Satu sa’ disisi Syafie =543.428 x 4 = 2.175 Gram.
Walaubagaimanapun Dr. Sulaiman Rasyid menyatakan : Sa’ (صاع) menurut erti bahasa arab adalah nama ukuran sukatan ( takaran ). Jadi ukuran banyaknya zakat fitrah ini adalah ukuran takaran,bukan ukuran timbangan. Penyelidikan Ulamak-ulamak yang menetukan banyaknya zakat fitrah dengan timbangan ( katian/gram ) adalah kurang teliti ( kurang tepat ) kerana berat beras satu gantang dari beberapa macam jenis beras tentu tidak sama.Apalagi kalau dibandingkan dengan segantang jagung atau lain-lainnya sudah tentu amat berjauhan timbangannya walau takarannya adalah sama . (rujuk : Fiqh Islam – Dr Sulaiman Rasyid m/s 219 terbitan DPF )
ADAKAH HARUS DIKELUARKAN LEBIH DARIPADA SATU SA’ (صاع) ?
Disebutkan di dalam sesetengah kitab mazhab Maliki bahawa disunatkan bagi orang yang mengelurakan zakat fitrah supaya tidak mengeluarkannya lebih dari satu Sa’ (صاع). Bahkan mengelurakan lebih darinya adalah suatu yang makruh kerana kadar satu Sa’ itu adalah ketentuan daripada syara’ .Maka tambahan ke atas kadar yang ditentukan itu adalah satu bid’ah yang makruh (بدعة مكروهات). Keadaannya adalah sepetimana menambah bilangan tasbih melebihi 33 (seperti yang ditentukan oleh syara’ selepas sembahyang ).Namun demikian,tambahan yang dikira makruh itu ialah ketika tambahan itu berlaku di dalam keadaan nyata ( sengaja ). Adapun tambahan yang berlaku di dalam keadaan syak maka tidak dimakruhkan.
Pendapat ini ditolak oleh Dr. Yusuf Al-Qordhowi dimana beliau menyatakan : pada pandanganku : Perbandingan atau penyamaan ini ( iaitu menyamakan hukum mengeluarkan zakat fitrah lebih daripda kadar wajib dengan hukum menambah bilangan tasbih melebihi daripada bilangan yang ditentukan oleh syara’) adalah tidak dapat diterima.ini kerana urusan zakat bukan terdiri daripada urusan-urusan bersifat ibadah semata-mata seperti sembahyang dan apa-apa yang berhubung dengannya daripada zikir dan tasbih.Oleh itu, tambahan yang berlaku pada zakat melebihi kadar yang diwajibkan adalah harus dan ia adalah perkara yang baik ( digalakkan ) sepertimana yang disebut oleh Al-Quran (فمن تطوع خيرا فهو خير له ) ketika memperkatakan tentang fidyah puasa iaitu memberi makan orang miskin.
JENIS-JENIS MAKANAN YANG HARUS DIKELUARKAN ZAKAT FITRAH DARIPADANYA
Para fuqahak sepakat menyatakan harus untuk mengeluarkan zakat fitrah daripada lima jenis makanan iaitu البر, الشعير, التمر, الزبيب dan الأقط ( susu kering ) sekiranya jenis-jenis makanan ini dijadikan sebagai Qut ( قوت ) (makanan asasi ) di dalam negeri atau sesuatu tempat.Ini kerana kelima-lima jenis makanan ini adalah sabit sebutannya dalam hadis-hadis.
Ulamak Syafie dan Maliki berpendapat : penyebutan lima jenis makanan ini di dalam hadis-hadis buakanlah bermakna pengeluaran zakat fitrah hanya diharuskan daripada lima jenis makanan ini sahaja.Ia adalah perlambangan kepada Qut yang wujud di dalam negeri pada zaman Nabi (s.a.w). Jadi menjadi kewajipan bagi setiap muslim unutk mengeluarkan zakat fitrah daripadanya Qut yang menjadi kebiasaan di dalam negara.
Di dalam satu pendapat menyatakan : “Dikeluarkan daripada Qut yang menjdai kebiasaan seseorang individu itu sendiri”. Menurut pendapat Imam Ghazali : yang dikira ialah Qut yang menajdi kebiasaan di dalam negeri pada waktu wajibnya zakat fitrah dan bukan sepanjang tahun .
Sekiranya di dalam negeri terdapat pelbagai jenis Qut dan tidak ada daripadanya yang lebih dibiasakan ke atas yang lain maka hendaklah dipilih salah satu daripadanay dan yang paling utama ( الافضال ) ialah Qut yang paling baik .Ini melihat kepad firman Allah :
لن تنال البر حتى تنفقوا مما تحبون .........أل عمران : 92
Adapun mazhab Ahmad,apa yang zahir daripadanya ialah :” Tidak harus keluar zakat fitrah selain daripada lima jenis makanan ini ( yang disebut di dalam hadis ) di dalam keadaan ia mampu untuk mengeluarkannya daripada lima jenis makanan ini samad makanan yang lainnya itu terdiri daripada Qut di dalam negeri ataupun tidak “.
Mengelurakan zakat fitrah dengan tamar (التمر ) adalah paling afdhal disisi Imam Ahmad dan Malik.Berkata Imam Syafie : “ gandum adalah lebih afdhal ”. Sementara Imam Abu Hanifah berpendapat yang paling afdhal ialah yang paling banyak / mahal harganya.
ADAKAH HARUS MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH DENGAN HARGA?
Membayar zakat fitrah dengan nilaian harga (wang ) makanan,menurut mazhab Syafie,Malik dan Ahmad tidak harus kerana ia tidak bertepatan dengan sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Di dalam mazhab Hanafi tiada halangan kerana zakat fitrah itu adalah hak orang-orang faqir. Untuk menutup hajat mereka boleh dengan makanan dan boleh dengan wang,tidak ada bezanya.Barangkali mengeluarkannya dengan wang lebih baik kerana dengan wang memungkinkan orang faqir membeli apa sahaja keperluannya dengan mudah seperti makanan,pakaian dan hajat-hajat yang lain lagi.
Dr. Yusuf Al-Qardhowi telah mentarjihkan pendapat Imam Abu Hanifah iaitu harus mengelurakan zakat dengan wang (harga ).Ini kerana, selain daripada pendapat ini bersandar kepada nas-nas,ia bersesuaian dengan keadaan semasa dan lebih mendatangkan kemudahan kepada umat Islam pada masa kini. Namun demikian,keharusan ini adalah dengan syarat ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada orang-orang faqir dan kepada pemilik harta itu sendiri.
Ulamak-ualamk Hanafi berbeza pendapat di dalam menetukan “manakah yang lebih afdhal?, mengelurakan zakat dengan wang ( harga ) atau makanan?.”Walau bagaimanapun,apa yang jelas kepada kita ialah : ukuran yang diambil kira untuk menentukan mana yang lebih afdhal. Kembali kepada kemanfaatan orang faqir itu sendiri.Sekiranya kemanfaatannya pada suatu ketika lebih banyak kepada makanan seperti di dalam keadaan kebuluran dan kesempitan maka mengeluarkan zakat dengan makanan adalah lebih afdhal. Sekiranya kemanfaatanya lebih banyak kepada wang maka mengeluarkan zakat dengan zakat wang ( harga ) adalah lebih afdhal.
BILAKAH WAKTU WAJIB MENGELURAKAN ZAKAT FITRAH?
Para Fuqahak bersepakat bahawa waktu wajib untuk mengluarkan zakat fitrah ialah pada akhir Ramadhan.Kekhilafan berlaku pada menetukan bilakah waktu wajib itu pada akhir Ramadhan?.
Imam Syafie ,Imam Ahmad dan Imam Malik ( dalam satu riwayat ) menyatakan bahawa waktu wajibnya ialah dengan terbenam mataharai pada hari terakhir daripada bulan Ramadhan.
Imam Abu Hanifahy,Imam Syafie ( dalam qaul qadim ) dan Imam Malik ( dalam satu riwayat yang lain ) berpendapat waktu wajib ialah dengan terbit fajar pada hari raya.
Kesan khilaf yang berlaku di atas dapat dilihat pada hukum kanak-kanak yang dilahirkan selepas terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan dan sebelum terbitnya fajar hari raya.Adakah diwajibkan ke atasnya zakat fitrah atau tidak? Di sisi pendapat pertama , kanak-kanak ini tidak diwajibkan ke atasnya zakat fitrah kerana ia dilahirkan sebelum waktu wajib di sisi mereka,iaitu terbitnya fajar hari raya.
MENYEGERAKAN PEMBAYARAN ZAKAT SEBELUM WAKTU WAJIB
Jumhur Fuqahak menyatkan harus menyegerakan pembayaran zakat fitrah satu atau dua hari sebelum hari raya.
Imam Syafie menyatakan :” Harus menyegerakannya bermula daripada awal Ramadhan”.
Imam Abu Hanifah berpendapat :” Harus menyegerakannya seblum bulan Ramadhan lagi”.
Sesetengah Ulamak Hambali menyatakan :” Harus menyegeraknnya bermula daripada pertengahan bulan Ramadhan “.
HUKUM MENTA’KHIRKAN (MELEWATKAN ) MEMBAYAR ZAKAT FITRAH
Jumhur Fuqahak berpendapat melewatkan pembayaran zakat fitrah sehingga sesudah solat hari raya ( iaitu membayarnya sesudah solat ‘aid )b adalah makruh .Ibnu Hazim menyatakan ianya adalah haram.
Adapun melewatkan pembayaran sehingga habis hari raya ( iaitu membayar zakat fitrah selepas terbenam matahari pada hari raya pertama ) maka berkata Ibnu Ruslan :” ia adalah haram dengan sepakat ( para Ulamak ) kerana zakat fitrah adalah zakat yang wajib, maka melewatkan pembayarannya adalah berdoa sepertimana melewatkan sembahyang sehingga terkeluar daripada waktunya”. Berkata Ibnu Qudamah di dalam (المغنى ) : “Orang yang melewatkan pembayaran zakat fitrah sehingga habis hari raya maka ia adalah berdosa dan wajib ke atasnya qadha’ ( ganti ).
Sepakat Imam-imam mazhab pada menyatakan bahawa kewajipan menunaikan zakat fitrah tidak akan gugur dengan menta’khirkannya ( melewatkannya ),selepas ia menjadi wajib ( ke atas seseorang ), bahkan ia menjadi hutang yang berada di bawah tanggungan oarng yang wajib membayar zakat fitrah itu sehinggalah ia membayarnya walaupun pada akhir umur.
WAKTU MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH DAN HUKUMNYA DI DALAM MAZHAB SYAFIE
Oleh kerana pengalaman masyarakat Islam Malaysia lebih meraikan feqah mazhab Syafie, maka di sini adalah lebih baik kita membuat sedikit penditilan terhadap waktu-waktu mengeluarkan zakat fitrah menurut feqah mazhab Syafie.
Sebagaimana yang telah diketahui bahawa di dalam mazhab Syafie waktu wajib zakat fitrah ialah sewaktu terbenam matahari pada malam hari raya (iaitu hari terkahir daripada bulan Ramadhan). Sungguhpun begitu tidak ada halangan bila dibayar sebelumnya asalakn di dalam bulan puasa. Dibawahini diterangkan beberapa waktu dan hukum membayar zakat fitrah pada waktu itu:
1. Waktu harus : iaitu dari awal Ramadhan sampai hari penghabisan Ramadhan. ( lihat hadis Ibnu Umar tadi )
2. Waktu wajib : iaitu mulai terbenam matahari penghabisan Ramadhan.
3. Waktu sunat : iaitu dibayar sesudah sembahyanga subuhsebelum pergi sembahyang hari raya.
4. Waktu makruh : iaitu membayar sesudah solat hari raya tetapi sebelum terbenam matahari pada hari raya.
5. Waktu haram : iaitu dibayar sesudah terbenam matahari pada hari raya.
PENGAGIHAN ZAKAT FITRAH
Menurut Ibnu Rusyd :” Telah ijma’ para Ulamak pada menyatakan bahawa zakat fitrah diberikan kepada oarng-orang faqir dari kalangan orang Islam.Ini berdasarkan kepada sabda Nabi (saw) : (أغنوهم فب هذا اليوم ).
Para Ulamak berkhilaf pada masalah :” Adakah harus diberikan zakat fitrah kepada orang-orang faqir dari kalangan orang kafir zimmi (أهل الذمة ). Jumhur Ulamak berpendapat bahawa ia adalah tidak harus.Manakal Abu Hanifah mengahruskannya.
Sebab khilaf ialah kembali kepada persoalan: “ Adakah sebab yang mengharuskan zakat fitrah bagi orang faqir itu ialah kerana faqir (ألفقير ) sahaj atau kerana faqir dan Islam sekali gus.Ulamak yang menyatakan sebab faqir dan Islam”, tidak mengharuskan pemberian zakat fitrah kepada orang kafir zimmi kerana mereka tidak Islam.Adapun Ulamak yang menyatakan “ sebab faqir sahaja ” mengharuskannya kepada orang kafir zimmi.Setengah Ulamak mensyaratkan ahli zimmah yang harus zakat fitrah bagi mereka hendaklah terdiri daripada paderi atau pendita (رهبان ).
ADAKAH ZAKAT FITRAH MESTI DIAGIHKAN KEPADA SEMUA GOLONGAN YANG LAYAK MENERIMA ZAKAT?
Adakah pengagihan zakat fitrah tertumpu kepada orang-orang faqir dan miskin sahaja atau diagihkan sama rata kepada lapan golongan yang layak menerima zakat yang disebutkan oleh Allah di dalam ayat 60,surah at-Taubah ?. Ulamak berkhilaf di dalam masalah ini kepada tiga pendapat:
1) Pendapat pertama : menyatakan wajib diagihkan sama rata dikalangan lapan golongan yang boleh menerima zakat harta atau yang ada dikalangan mereka.Pendapat ini merupakan pendapat yang masyhur dikalangan Ulamak Syafie . Ia juga merupakan pendapat Ibnu Hazim. Dalil pendapat ini ialah ayat 60 aurah At-Taubah.
2) Pendapat kedua : menyatakan bahawa zakat fitrah wajib dijhususkan kepada orang-orang faqir sahaja tidak kepada golongan-golongan yang lainnya. Pendaapat ini merupakan pendapat mazhab Maliki san satu qaul daripada Imam Ahmad.Pendapat ini ditarjih oleh Ibnul qayyim dan Ibnu Taimiyah. Diantara dalil golongan ini ialah hadis Nabi ( saw ) yang menyatakan bahawa zakat fitrah adalah “طعمة للمساكين “ dan hadis yang menyatakan “ وأغنوهم فى هذا اليوم “.
3) Pendapat ketiga : menyatakn harus mengagihkannya sama rata diantara semua golongan yang layak menerima zakat dan harus juga mengkhususkannya hanya kepada orang faqir dan miskin sahaja.Pendapat ini merupakan pendapat jumhur Ulamak.
Dr Yusuf Al-Qardhowi menyatakn : “ pendapat yang kami pilih ialah mendahului golongan faqir ( di dalam pengagihan zakat fitrah ) daripada golongan-golongan yang lainnya kecuali kerana ada keperluan dan maslahat yang diambil kira oleh Islam “.
Berkata Syeikh Abu Bakar Jabir Al-Jazairy : “ Penggunaan zakat fitrah yang sohih ialah untuk orang-oarng faqir dan miskin berdasarkan kepada hadis :
-فى هذا اليوم عن المسألة أغنوهم - يعنى المساكين
Kecualilah jika Imam ( ketua negara ) melihat di san ada golongan yang lain yang lebih memerlukan,maka zakat fitrah digunakan untuknya.Ini kerana penggunaan harta zakat fitrah terbina di atas asas maslahat umum bagi umat Islam. Begitu juga harus dikumpulkan zakat fitrah dan Imam ( ketua negara ) menguruskan pengeluaran atau penggunaannya pada tempat yang dilihat bermanfaat bagi orang Islam “.
CORAK PEMBAHAGIAN ZAKAT FITRAH KEPADA ORANG FAQIR
Jumhur Fuqahak menyatakan harus bagi seorang individu tertentu untuk membayar zakat fitrahnya kepada seorang faqir-miskin sahaja atau kepada beberapa oarang.Begitu juga harus bagi satu kumpulan untuk membayar zakat fitrah kepada seorang faqir-miskin sahaja.
Setengah Ualmak memakruhkan pembayaran zakat fitrah oleh seorang individu kepada beberapa orang faqir / miskin kerana dengan pembayaran yang sebegini rupa tidak memenuhi matlamat menutupi hajat ( الأغنيأ ) oarng faqir/miskin seperti yang disuruh oleh hadis. Begitu juga pembayaran satu kumpulan yang banyak kepada seorang faqir/miskin sahaja dalam keadaan terdapat di sana orang lain yang juga berhajat seumpamanya atau lebih daripadanya.
ADAKAH HARUS MEMINDAHKAN ZAKAT FITRAH DARIPADA SATU NEGERI KE SATU NEGERI YANG LAIN ?
Pemindahan zakat fitrah dari satu negeri ke satu negeri yang lain adalah ahrus sekiranya penduduk negeri yang dipindahkan zakat ke dalamnya terdiri daripada orang yang mempunyai silaturrahim dan kekeluargaan dengan penduduk negeri yang memindahkan zakat fitrah.Begitu juga harus sekiranya negeri yang dipindahkan zakat ke dalamnya lebih berhajat daripada negeri oarng yang membayar zakat.Diharuskan juga mengumpul zakat fitrah dan mengutuskannya kepada orang-orang yang ditimpa kesusahan atau bala seperti penduduk Bosnia kerana mereka merupakan orang yang lebih memerlukan daripada orang faqir.
BEBERAPA HUKUM BERKAITAN DENGAN ZAKAT FITRAH
1) Orang yang bermusafir diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya sekiranya tidak menjadi kebiasaan bagi keluarganya mengeluarkan zakat fitrah untuknya atau ia tidak mewasiatkan keluarganya untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi pihaknya.Zakat fitrah ini dikeluarkan pada tempat yang ia berada padanya.Sekiranya menjadi kebiasaan bagi keluarganya mengluarkan zakat untuknya atau ia mewasiatkan keluarganya supaya mengeluarkan zakat fitrah untuknya ia tidak di wajibkan mengeluarkannya tetapi hanya sunat sahaja.
2) Sesiapa yang mempunyai harta untuk dikeluarkan zakat fitrah dan pada masa yang sama ia menanggung hutang yang sejumlah dengannya maka ia tetap diwajibkan untuk membayar zakat fitrah kecualilah sekiranya ia dituntut untuk membayar hutangnya itu.Dalam keadaan ini ia hendaklah menjelaskan hutangnya dan tidak diwajibkan zakat fitrah ke astasnya.
3) Zakat fitrah tidak harus dibayar kepada oirang-orang yang berada di bwah tanggungan orang yang memeberi zakat seperti anak,isteri dan kedu ibu-bapanya.
4) Isteri diharuskan membayar zaktnya kepada suaminya jikalau suaminya seorang yang faqir.Ini jelas sebagaimana yang telah dilakukan oleh anak perempuan Ibnu Mas’ud yang telah memberi zakatnya kepada suaminya Abdullah dan perkara tersebut telah di taqrir oleh Rasululllah saw.
والحمد لله أولا وأخيرا
DISEDIAKAN OLEH : AHMAD ADNAN BIN FADZIL
RUJUKAN
1) فقه الزكاة ( Dr. Yusuf Al-Qardhowi )
2) فقه السنة (Syeikh Sayyid Sabiq )
3) الفقه الواضح من الكتاب و السنة ( Dr. Mohd Bakar Ismail )
4) فقه الزكاة المعاصر ( Mohd Abu As Su’ud )
5) كتاب الفقه على مذاهب الربعة ( Syeikh Abdurrahman Al-Jazairy )
6) الاقناع فى حل الالفاظ ابى شجاع ( Syeikh Syamsuddin Mohd bin Mohd Al-Khatib As-Syarbini )
7) ألسيراج الوهاج على متن المنهاج ( Syeikh Mohd Az-Zuhri Al-Ghamrawi )
8) FIQH ISLAM ( Dr. Sulaiman Rasyid )
9) رحمة الامة فى اختلاف الأئمة ( Abi Abdillah Mohd bin Abdul Rahman Ad-Dimashqi As-Syafie)
10) أحكام الزكاة ( Abdullah Nasih Ulwan )
11) ألزكاة الفريضة الثالثة ( Syeikh Abdullah Ali Al-Abhar )
12) الجمل فى زكاة العمل ( Syeikh Abu Bakar Jabir Al-Jazairy )
13) الموازين والمكايل والمقاييش الشرعية و المعا صرة ( Syeikh Abdullah Ali Al-Abhar
Islam adalah agama yang dibawa oleh Allah swt dengan sebuah agama yang murni, harmoni, syumul dan luhur. Ia digambarkan dengan keperibadian Rasulullah saw yang memiliki akhlak yang mulia, bersifat sederhana dan suka melakukan kebaikan sesama makhluk. Ciri-ciri Rasulullah ini telah memberi keamanan dan rahmat seluruh alam. Sebagaimana firman Allah swt: "Tidaklah AKU utuskan engkau wahai MUHAMMAD melainkan menjadi rahmat seluruh alam" (al-Anbia': 107)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
Apakah hukum bagi seorang muslimah yang melambatkan solat fardhu dan apabila hendak mengerjakannya didapati haidhnya tiba? Bagaimanakah kead...
-
Menurut mazhab Syafi'i dan Hanbali, bulu kucing yang tertanggal dari tubuh badannya adalah najis. Bukan setakat kucing, tetapi bulu bina...
-
Berikut adalah sejarah lahirnya mazhab dalam Islam, dalam makalah ini berbagai permasalahan tentang mazhab akan dibincang secara ringkas, pe...
-
I‘tikaf ialah suatu ibadah yang mempunyai kelebihan dan hikmat tertentu. Di antaranya membersihkan hati daripada sifat-sifat yang tercela, m...
-
1.0 Muqaddimah Siasah Syari'yyah yang kita perkatakan bukanlah percakapan semata-mata bahkan ia adalah gabungan dari mafhum-mafhum sya...
-
Orang Islam telah memberi sumbangan yang begitu besar terhadap peradaban dan tamadun manusia. Sumbangan yang paling besar ialah dan aspek ag...
-
Pengertian aurat menurut bahasa adalah keaiban.Manakala menurut pandangan atau pengertian syarak ialah "Bahagian-bahagian tertentu yan...
-
Syariah Islam menetapkan bagi setiap sesuatu amalan manusia tidak terlepas daripada hukum yang ditetapkan oleh Allah. Hukum yang ditetapkan ...
-
Ada empat istilah asas Fiqh yg membingungkan: Ijtihad, Ittiba', Talfiq dan Taqlid. Kita jelaskan secara mudah: a. Ijtihad: mencurahkan...
-
Syarat-syarat haji menurut Mazhab Hanafi 1. Islam, haji tidak wajib bagi orang kafir, hajinya tidak sah. 2. Akal, tidak wajib bagi orang g...
No comments:
Post a Comment