Soalan:Sebagaimana yang telah sedia maklum bahawa Al-Quran tiada menyatakan bilangan yang ditetapkan berkenaan dengan bilangan Jemaah yang disahkan kepada mendirikan sembahyang Jumaat. Begitu juga hadith tiada menetapkan berkenaan dengan sah Jumaat itu dengan bilangan yang genap tiada kurang daripada 40 orang mastautin bahkan hanyalah daripada pendapat ulama’-ulama’ yang bersalah-salahan. Maka bagaimana hukum Jemaah yang lebih daripada 40 orang yang tiada di yakinkan kesemuanya bermastautin. Adakah dihukumkan sia-sia @ batal?
Jawapan:Bahawa tidaklah tersembunyi di sisi orang Islam akan suatu kaedah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mereka itu tidak bermusuh-musuh dan pulau-memulau (boikot) di antara satu sama lain sebab khilaf pada masalah furui’yyah seperti masalah-masalah hukum-hukum najis, wuduk, sembahyang dan lainnya tiap-tiap seorang beramal dengan kemahuan masing-masing mengikut mazhabnya, tiada membangkang ia akan saudaranya orang-oarang Islam yang beramal dengan satu mazhab yang lain daripada mazhabnya.
Di atas kaedah inilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah berdiri seperti yang telah kita ketahui akan ahli-ahli mazhab Imam-imam yang empat tidak bermusuh-musuh dan tidak pulau memulau di antara satu dengan yang lain mereka itu menyempurnakan sembahyang Jumaat dan berjemaah mengikut imam dan makmum setengah kepada setengah dengan tidak memandang kepada mazhab-mazhab masing, hal semenjak dari zaman sahabat-sahabat Rasul hingga sampai sekarang seperti yang kita lihat di negeri-negeri islam dan dalam masjidil Haram di Mekkah pada ketika musim haji dan lainnya.
Demikianlah keadaan sahabat-sahabat dan tabiin dan kemudiannya. Adapun ahli-ahli bidaah dan ahli-ahli sesat mereka itulah yang bermusuh-musuhan setengah dengan setengah sebab khilaf dalam masalah furui’yyah da telah terjadi di tanah Jawa suatu perselisihan dan permusuhan berkenaan dengan masalah furui’yyah, mereka itu adalah terkeluar daripada mazhab Ahli Sunnah menjadi ahli bidaah.
Telah kedapatan setengah orang-orang jahil yang mendakwa dirinya berilmu bahawasanya mereka itu mendalam-dalamkan dan meluas-luaskan masalah khilafiah itu. Dan taksub (kuat) berpegang kepada satu pendapat ulama’ dan menyiarkan di antara orang-orang awam dan dan menghukumkan orang lain salah satu dan apa yang dikatakan semuanya tidak betul sehingga pecah belah orang-orang Islam bemusuh-musuh dan berbantah-bantah. Ketika itu terjadilah di antara orang –orang Islam benci-membenci hingga agama Islam lenyap seperti yang disebutkan dalam hadith berkenaan dengan kebencian itu sabda Rasulullah: bahawa kebencian itu mencukur dan tidaklah aku katakan mencukur rambut tetapi mencukur agama dan pada ketika itu tidak ada di antara orang-orang Islam mahabbah maka lenyaplah iman mereka kerana sabda Rasulullah S.A.W.: والذى نفسي بيده لن تدخلوا الجنة حتى تؤمنوا ولا تؤمنوا حتى تحابوا yang bermaksud: “Demi tuhan yang diriku di tangannya, kamu tidak akan masuk syurga sekali-kali sehingga kamu beriman dan tidaklah kamu beriman hingga kamu berkasih-kasihan. Maka apabila terjadi perbantahan dan pecah belah hilanglah mahabbah.
Di dalam firman Allah di dalam surah Al-Imran 105: ولا تكونوا كالذين تفرقوا واختلفوا من بعد ما جآءهم البينات وأولئك لهم عذاب عظيم yang bermaksud: Dan janganlah kamu jadi seperti orang yang berpecah belah dan berbantah-bantah kemudian dan daripada telah didatangkan kepada mereka itu akan dalil-dalil kenyataan dan mereka itu bagi mereka azab yang amat dahsyat.
Adapun masalah berjamaah pada sembahyang Jumaat itu tiadalah khilaf di antara ulama’ kerana lafaz Jumaat diambil daripada lafaz jamak (kumpulan) kemudian setengah ulama’ menghadkan sekurang-kurang bilangan jemaah itu dua orang @ 3 orang sebagaimana pendapat Imam Hanafi. Dan setengah yang lain menghadkan sekurang-kurangnya 20 atau 30-orang sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Imam Malik. @ 40 orang sebagaimana pendapat Imam Syafei, ini ialah pendapat sekelian ulama’ melainkan ulama’yang akan saya sebutkan nama-mereka kemudian. Kerana Ulama’ yang mengatakan sah sembahyang Jumaat dengan 2 orang @ 3 orang @ 7 orang @ 9 orang @ 12 orang(ulama’ yang mengatakan sah sembahyang Jumaat dengan 7 orang @ 9 orang @12 orang bukan daripada mazhab imam yang empat) mereka itu tidak dapat tiada mengatakn sah Jumaat dengan 4 orang kerana 4 orang lebih daripada 2 orang @ 3 orang @ 7 orang @ 9 orang @ 12 orang. Dan Imam Ahmad menghadkan Jemaah ini dengan 50 orang lelaki. Tidak ada tersebut dalam hadith(sahih @ hasan) bahkan tidak tersebut dalam hadith dhaif bahawa Rasulullah menyuruh seseorang lelaki@ 2 orang @ 3 orang sembahyang Jumaat sebagaimana baginda tidak juga menyuruh orang-orang yang sedang berlayar sembahyang Jumaat hanya mengatakan sah solat Jumaat mereka itu sebab hasil nama Jemaah itu dengan 2 orang. Dan setengahnya berpendapat jemaah itu hanya dengan 3 orang @ lebih. Dan orang yang mengatakan sah sembahyang Jumaat dengan seseorang diri ialah Haizm Al-Zahiri yang berpegang bahawa perintah Jumaat itu am tidak menentukan dengan 2 orang @ lebih tetapi perkataan Ibn Hazim tidak diterima, kerana tiada dalil naqal yang sampai kepada kita bahawa dengan seorang diri didirikan solat Jumaat pada hal ada sebab yang mudah kepada mengadakan dalil naqal itu, sebagaimana firman Allah di dlam Al-Quran yang bermaksud: wahai orang-orang yang telah beriman apabila diserukan (orang azan) kerana sembahyang Jumaat pada hari Jumaat maka hendaklah kamu pergi sembahyang Jumaat. Allah ada mengingatkan kita bahawa orang yang diseru, dan orang yang disuruh pergi sembahyang Jumaat itu mesti berjemaah sebagimana nas ayat itu dan sebagaimana telah sabit dengan tawatir akan perbuatan Nabi Muhammad S.A.W.Telah berkata Imam Nawawi: Bahawa syarat sembahyang Jumaat dengan berbilang-bilang orangnya telah ijama’. Kemudian barangsiapa beri’tiqad bahawa mazhab Imam Syafei betul (sahih) maka tidak wajib dan tidak sah Jumaat melainkan apabila sempurna 40 orang yang mastautin.
Demikianlah menurut yang disebutkan di dalam kitab-kitab Fiqh Al-Syafei, orang yang mengi’tiqadkan mazhab yang lain batal maka tiadalah jalan memaksa akan dia mengerjakan yang bersalahan dengan I’tiqadnya kerana ia berpegang membuat amal yang tiada sah dan tersamar dengan ibadat yang fasid.Kata Imam Nawawi “ Telah berkata sahabat-sahabat kami ulama’ Syafei bahawa telah ijma’ umat Islam atas mensyaratkan bilangan Jemaah maka tidak sah solat Jumaat melainkan dengan ramai bilangan orangnya, yang telah tetap dengan taufiq (ajaran daripada Rasulullah S.A.W dengan perkataan dan amal) dan telah tetap harusnya dengan 40 orang maka tidak harus kurang daripadanya melainkan dengan dalil”.Barangsiapa hendak berpegang kepada mazhab Abu Hanifah umpamanya kita tidak menegah akan dia jika ia melakukannya dengan cukup syarat-syarat ikutan itu. Kerana bertaqlid itu sah untuk memberi kelengkapan kepada umat Islam.Adapun mengulang solat Jumaat dengan sembahyang Zohor kemudian daripada telah sembahyang Jumaat, dan tiada menyebutkan apa-apa pun didalam kitabnya.
Kata sahabat-sahabat Imam Syafei bahawa Imam Syafei telah masuk ke Bandar Baghdad dan solat Jumaat yang didirikan pada 2 tempat @ 3 maka Imam Syafei tidak membangkang yang demikian itu dan sahabat-sahabat imam Syafei telah khilaf pula atas beberapa pendapat tetapi pendapat yang sah bahawa lebih daripada 1 Jumaat didirikan di Baghdad adalah harus sebab Baghdad itu negeri besar, sukar orang-orang berhimpun di dalam satu tempat. Kata Imam Nawawi: telah berkata sahabat-sahabat kami (ulama’ Syafei) harus didirikan lebih daripada satu Jumaat di seluruh negeri yang banyak orang dan sukar mereka itu berhimpun dalam satu tempat.
Makna sukar (مشققة)Adapun yang dimaksudkan dengan sukar berhimpun iaitu tiap-tiap perkara yang sukar berhimpun seperti masjid itu keadaannya sempit dan banyak orang, atau masjid itu jauh, atau ada yang menakutkan ditengah jalan @ orang pergi ke Masjid itu kena panas terik @ hujan @ kesemuanya itu kesukaran yang mengharuskan berbilang-bilang jemaah.Tersebut dalam kitab بغية المسترشدين pada fatwa العلامةالسيد الشريف بن علوى بن سقاف الجعفرى الحسنى “hendaklah orang alim berkata apabila diminta petua pada perkara mendirikan solat Jumaat pada hal kurang bilangan orangnya iaitu mazhab Syafei tidak harus. Kemudian jika tidak menerbitkan kerosakan dan mudah-mudahkan haruslah baginya (alim) menunjukkan kepada orang yang mengamalkannya kepada qaul al qadim “. Yakni sah dengan 3 orang, lain daripada imam dan juga dikata 3 orang bersama imam.Tersebut dalam kitab بغية المسترشدين pada fatwa Al-Alamah As-Said As-Syarif bin Alwi bin Saqaf Al-Jufri Al-Husaini “ hendaklah kamu ketahui bahawa Syeikh Sayuti dan lainnya daripada ulama’- ulama’ hadith yang menunjukkan bilangan (jemaah) yang tertentu maka jika begitu padahal ijama’ Umat Islam bahawa solat Jumaat itu satu fardhu daripada fardhu ain nescaya adalah yang zahir, kita pilih iaitu apabila berhimpun suatu jemaah kurang bilangannya di dalam suatu kampung dan tidak dapat pergi tetapi ada kesukaran maka wajib pada hal yang pertama dan harus padahal yang kedua atas mereka itu mendirikan Jumaat di tempat mereka.
Alamah Ahmad bin Zain Al-Habsyi memilih pendapat ini dan mengamalkannya.Dari segi itu juga seseorang mengamalkan dengan pendapat ini berpegang dengan yang sah tidaklah mengulang sembahyang Jumaat dengan sembahyang Zohor, ini adalah nasihat dan pelajaran yang telah saya sebutkan daripada Imam Ibn Yahya bukan fatwa.
Negara asal : Malaysia
Negeri : Johor
Badan yang mengisu fatwa : Mufti Kerajaan Johor
Penulis/Ulama : Dato’ Said Alwe Tahir Al- Hadad
Tarikh Diisu : 1936-1961
Islam adalah agama yang dibawa oleh Allah swt dengan sebuah agama yang murni, harmoni, syumul dan luhur. Ia digambarkan dengan keperibadian Rasulullah saw yang memiliki akhlak yang mulia, bersifat sederhana dan suka melakukan kebaikan sesama makhluk. Ciri-ciri Rasulullah ini telah memberi keamanan dan rahmat seluruh alam. Sebagaimana firman Allah swt: "Tidaklah AKU utuskan engkau wahai MUHAMMAD melainkan menjadi rahmat seluruh alam" (al-Anbia': 107)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
Apakah hukum bagi seorang muslimah yang melambatkan solat fardhu dan apabila hendak mengerjakannya didapati haidhnya tiba? Bagaimanakah kead...
-
Menurut mazhab Syafi'i dan Hanbali, bulu kucing yang tertanggal dari tubuh badannya adalah najis. Bukan setakat kucing, tetapi bulu bina...
-
Berikut adalah sejarah lahirnya mazhab dalam Islam, dalam makalah ini berbagai permasalahan tentang mazhab akan dibincang secara ringkas, pe...
-
I‘tikaf ialah suatu ibadah yang mempunyai kelebihan dan hikmat tertentu. Di antaranya membersihkan hati daripada sifat-sifat yang tercela, m...
-
1.0 Muqaddimah Siasah Syari'yyah yang kita perkatakan bukanlah percakapan semata-mata bahkan ia adalah gabungan dari mafhum-mafhum sya...
-
Orang Islam telah memberi sumbangan yang begitu besar terhadap peradaban dan tamadun manusia. Sumbangan yang paling besar ialah dan aspek ag...
-
Pengertian aurat menurut bahasa adalah keaiban.Manakala menurut pandangan atau pengertian syarak ialah "Bahagian-bahagian tertentu yan...
-
Syariah Islam menetapkan bagi setiap sesuatu amalan manusia tidak terlepas daripada hukum yang ditetapkan oleh Allah. Hukum yang ditetapkan ...
-
Ada empat istilah asas Fiqh yg membingungkan: Ijtihad, Ittiba', Talfiq dan Taqlid. Kita jelaskan secara mudah: a. Ijtihad: mencurahkan...
-
Syarat-syarat haji menurut Mazhab Hanafi 1. Islam, haji tidak wajib bagi orang kafir, hajinya tidak sah. 2. Akal, tidak wajib bagi orang g...
No comments:
Post a Comment