14 August 2010

Ahlan Wa Sahlan Ramadhan

Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan..
Marilah kita panjatkan doa kepada Allah SWT agar Allah memberikan kita sekali lagi peluang untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang mulia itu.

Untuk mengaut segala isinya, untuk mencapai segala hadiahnya, dan kalau Allah izin kita melepasi Ramadhan, kita harap Ramadhan ini menjadi madrasah untuk kita kekal taat kepadaNya sepanjang kehidupan kita. Tingkatkan ketaqwaan dan ibadah kita di bulan Ramadhan yang mulia ini baik utk saya mahupun anda semua tang bergelar ISLAM.

Ramadhan yang menghampir, jangan kita pula yang meminggir.

Mengapa sebulan suntuk hanya untuk taqwa?

Fikir-fikir semula, Ramadhan ini tujuannya apa? Allah telah jelas menyatakan di dalam firmanNya:

“Telah dituliskan(diwajibkan) ke atas kamu puasa sebagaimana yang telah dituliskan ke aras orang-orang dari sebelum kamu, moga-moga kamu bertaqwa” Surah Al-Baqarah ayat 183.

Taqwa. Itu tujuan utamanya.

Tetapi satu lagi persoalan timbul. Mengapa sebulan suntuk, tujuannya adalah taqwa? Kenapa bukan perkara lain?

Apakah besarnya taqwa ini di dalam kehidupan insan? Mengapa ia diangkat sedemikian penting?

Kepentingan taqwa yang tidak terlihat manusia.

Jika kita memerhatikan secara teliti, taqwa itu diangkat sedemikian penting adalah kerana taqwalah yang menjamin kelansungan seseorang hamba dalam ketaatannya kepada Allah SWT.

Sebab itu, Ka’ab bin Malik RA apabila ditanya oleh Umar Al-Khattab RA berkenaan taqwa, beliau menyoal Umar kembali:

“Wahai Umar, apakah kau pernah melalui jalan yang penuh dengan duri?”

Umar menjawab: “Pernah”

“Apa yang kau lakukan?”

“Aku sinsing kainku agar tidak tercarik dengan duri, dan aku jaga langkahanku agar tidak terpijak duri”

“Itulah dia taqwa”

Dari situ, kita dapat analogikan duri sebagai larangan-larangan Allah dalam kehidupan insan. Maka rasa berhati-hati dari ‘tercarik’ dan ‘terpijak’ itu adalah analogi kepada taqwa. Ia seakan satu defensive system yang mengajak diri bukan sekadar menjauhi, bahkan berhati-hati dengan apa yang dilarang oleh Allah SWT. Bukan sekadar tidak melakukan, bahkan tidak mendekati. Bukan hanya takut ‘terpijak’, bahkan takut juga ‘tercarik’.

Maka jika inilah dapat dicapai oleh manusia, pastinya setahunnya mampu dilalui dengan baik. Benarlah firman Allah SWT apabila menyatakan perihal bekalan.

“Dan berbekal lah kamu. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa” Surah Al-Baqarah ayat 197.

No comments:

Popular Posts